PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas dan menyita wang tunai berjumlah RM766,693 daripada dua pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bergred rendah di kediaman suspek yang disyaki terbabit sindiket counter setting.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, rampasan itu hasil serbuan yang dilakukan di Pahang dan Melaka itu adalah susulan siasatan berhubung penglibatan pegawai penguat kuasa dalam sindiket membawa warga asing ke negara ini melalui saluran tidak sah.
Daripada jumlah itu katanya, RM518,250 dijumpai di bilik tidur seorang pegawai wanita JIM Kanan Gred KP22 di rumahnya di Pahang, manakala RM248,443 lagi wang tunai ditemui disorok di bawah katil bilik tidur utama pegawai imigresen lelaki Gred KP19 di Melaka.
“Jumlah wang tunai yang ditemui di kediaman kedua-dua pegawai berkenaan merupakan sebahagian daripada RM1.49 juta wang tunai yang disita terhadap penguat kuasa yang terlibat sindiket counter setting,” katanya pada sidang akhbar khas di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam.
Beliau menambah bahawa SPRM turut menyita sejumlah AS$9,900 (RM41,990) dan 5,470 Bath (RM696).
Selain itu, kata beliau, pihaknya turut merampas dan menyita sembilan buah kereta dan 13 unit motosikal yang dipercayai dibeli daripada wang rasuah.
“Sebanyak 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai melebihi RM200,000 juga disita daripada pegawai imigresen kanan Gred KP22 di Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Azam menyatakan bahawa SPRM telah menyita lebih 75 utas barang kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket, dan subang, serta 12 jam tangan pelbagai jenama.
“SPRM juga telah membekukan 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu dengan jumlah nilai pembekuan melebihi RM3.6 juta,” tambahnya.