RM7.3 Juta Sentuhan Kasih Kerajaan Negeri Untuk 73 DUN

Hajiji-Noor-Live-DUN-Sabah-1.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyalurkan bantuan one-off Sentuhan Kasih untuk kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan peruntukan sebanyak RM7.3 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang mengumumkan perkara itu berkata, ia adalah sebagai komitmen kebersamaan atas semangat Keluarga Malaysia.

“Saya berharap peruntukan ini akan dapat membantu semua wakil rakyat dan pemimpin setempat untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan.

“Ini merupakan tambahan kepada pelbagai jenis bantuan sedia ada yang telah dan sedang disalurkan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Kita berdoa semoga situasi getir yang kita hadapi ini akan cepat berakhir agar dapat mempermudahkan kita semua untuk memulihkan kehidupan yang terjejas dan kembali kepada persekitaran kehidupan yang normal seperti sebelum ini.

“Saya penuh yakin, kita mampu mengetepikan apa juga perbezaan atas matlamat yang sama untuk terus membangunkan dan memakmurkan negeri yang tercinta ini,” kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan semasa menggulung untuk Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan Kementerian Kewangan di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.

Hajiji juga memohon semua Ahli Yang Berhormat untuk mengambil peranan sebagai “Pemimpin Ekonomi” di kawasan masing-masing dan juga komuniti yang diwakili.

“Selaku pemimpin kawasan, Yang Berhormat merupakan “the right person at the right place to make a call and change” untuk menggalak dan bekerja bersama-sama rakyat di peringkat akar umbi untuk menggerakkan ekonomi setempat.

“Pendekatan terdahulu untuk menunggu program atau aktiviti ekonomi digerakkan oleh kerajaan sudah tidak relevan pada masa kini.

“Transformasi ekonomi setempat hendaklah diaktifkan oleh komuniti di bawah kawalan Ahli-Ahli Yang Berhormat. Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah berperanan selaku pembimbing dan penggerak untuk memajukan ekonomi kawasan masing-masing,” jelasnya.

Tambah beliau, saranan ini bertujuan supaya rakyat di peringkat akar umbi dapat meningkatkan taraf ekonomi keluarga, komuniti dan kawasan masing-masing.

Kerajaan dalam hal ini akan berperanan sebagai pemudah cara kepada kegiatan ekonomi yang dipelopori oleh rakyat setempat, katanya.

“Sehubungan itu, saya bersama-sama dengan barisan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mohon supaya Ahli-Ahli Yang Berhormat termasuklah blok pembangkang untuk mengutarakan cadangan, perancangan dan pandangan kepada Kerajaan Negeri. Pihak urus setia Sabah Maju Jaya akan memperhalusi semua saranan bagi maksud pelaksanaan.

“Saranan ini juga adalah selaras dengan komitmen saya sendiri semasa pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 pada 29 Mac 2021 bahawa Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya adalah milik bersama untuk mensejahterakan rakyat Negeri Sabah.

“Ahli-Ahli Yang Berhormat adalah sebahagian daripada ahli Sabah Maju Jaya. Justeru, sama-samalah kita berganding usaha untuk kemajuan ekonomi rakyat Sabah,” kata Hajiji.

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top