RM696.3 juta peruntukan STR telah disalurkan di Sabah – Hajiji

IMG_20230809_023409.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sebanyak RM696.3 juta peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah disalurkan kepada 799,782 penerima di Sabah setakat ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu semalam.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pembayaran STR terkini adalah pada Fasa 3 iaitu 26 Jun hingga 5 Julai lepas yang disalurkan terus ke akaun bank penerima, manakala yang tidak mempunyai akaun bank boleh mengambil bantuan itu di Bank Simpanan Nasional hingga 31 Dis ini.

“‘Bagi memastikan STR ini juga dapat disampaikan kepada penerima khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, kerajaan akan melaksanakan program penunaian di lapangan yang melibatkan daerah-daerah yang berkaitan di negeri Sabah bermula 3 Ogos sehingga pertengahan September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Jannie Lasimbang (DAP-Kapayan) berkenaan jumlah penerima STR di Sabah setakat tahun ini dan sebab-sebab bagi pemohon yang gagal mendapatkan bantuan berkenaan.

Hajiji berkata antara sebab permohonan tidak diluluskan adalah kerana tidak memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan seperti pemohon mempunyai pendapatan melebihi RM5,000 sebulan bagi isi rumah serta warga emas tiada pasangan, dan melebihi RM2,500 bagi individu bujang.

“Selain itu, kegagalan pemohon untuk mengemukakan dokumen yang menunjukkan status perkahwinan atau perceraian dan tidak melepasi syarat individu bujang dan berstatus pelajar sepenuh masa (juga punca permohonan ditolak),” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Sabah adalah sebanyak 35,461 orang dengan peruntukan kewangan berjumlah RM21.27 juta.

Beliau berkata bantuan RM600 itu disalurkan kepada isi rumah penerima STR yang tersenarai sebagai miskin tegar mengikut data eKasih setakat 28 Feb 2023.

Katanya penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan akan menerima bayaran sebanyak RM600 dan dikreditkan sekali gus ke akaun bank penerima atau secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional di seluruh negara bermula Isnin. — BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top