RM63 Juta Aset Diperoleh Kembali Daripada Skandal Air Sabah 2016

rampas-JANS.jpg

Imbas kembali:Barang-barang kemas, duit kertas berjuta-juta, beg tangan yang berjenama, kereta mewah antara yang dirampas oleh MACC dari rumah-rumah pegawai Jabatan Air. (sumber foto: Borneo Today)

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM63 juta aset telah dikembalikan daripada skandal jabatan air Sabah 2016, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

Jumlah itu diperoleh semula daripada dana RM3.3 bilion yang diperuntukkan untuk projek infrastruktur air itu, katanya.

“Tumpuan SPRM sekarang adalah rasuah berskala besar. Kalau dulu, terlalu banyak masa dan tenaga untuk menumpukan perhatian menangkap ikan bilis dan ini tidak akan banyak membantu kerana rasuah adalah satu hal yang sistemik,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan asal Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai strategi penambahbaikan dan fokus utama kerajaan melalui SPRM, untuk memastikan penyiasatan kes rasuah mendatangkan impak besar dan kesan nyata bagi mencapai agenda yang digariskan, sekali gus memulihkan imej negara di peringkat antarabangsa.

Mengulas kes berskala besar disiasat SPRM ketika ini, Perdana Menteri berkata antaranya skandal air terbesar di Sabah melalui Ops Water, membabitkan penyelewengan infrastruktur mencecah RM3.3 bilion, yang mana setakat ini aset berjumlah RM63 juta berjaya dikembalikan dan kes masih berjalan di mahkamah.

Selain itu, katanya, sindiket bitcoin membabitkan kecurian bekalan elektrik dengan kerugian sehingga RM2.3 bilion antara 2018 hingga 2021 (yang disiasat) melalui Ops Power dan tuntutan palsu dalam insentif semasa COVID-19 membabitkan Program Penjana Kerjaya melalui Ops Hire, dengan (wang) diselamatkan sebanyak RM426 juta.

“Kemudian, sindiket pengurangan saman trafik, yang juga membabitkan kelompok dalam sindiket kartel, seperti yang terdapat dalam JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) sebelum ini, yang mencecah jutaan ringgit.

“Saya percaya, penumpuan kepada kes skala besar itu, yang sudah dan sedang dijalankan akan memastikan rakyat, penjawat awam dan pimpinan politik melihat SPRM lebih agresif seperti yang dititah dalam Titah Diraja, semalam,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top