MEMBAKUT: Kerajaan telah meluluskan sejumlah dana bagi membina sebuah dewan masyarakat yang baharu di daerah Membakut, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Mengulas lanjut, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, sebanyak RM6 juta telah diluluskan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi tujuan berkenaan.
Tambahnya, pembinaan dewan masyarakat itu akan dimulakan tahun ini dan berharap segala proses berjalan dengan lancar bagi memastikan kemudahan itu akan memberi manfaat kepada rakyat setempat.
“Pada tahun ini akan bermula pembinaan Dewan Masyarakat Membakut yang baharu. Mudah-mudahan ia akan dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Mewakili masyarakat Membakut dan DUN Bongawan, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Ketua Menteri kerana telah meluluskan RM6 juta bagi membina Dewan Masyarakat Membakut yang baharu.
“Saya menjangkakan projek ini akan siap dalam jangka setahun atau setahun lebih. Lokasinya di tapak dewan lama, kita akan robohkan dan bina dewan yang baharu di lokasi asal di Pekan Membakut juga, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Membakut 2024 yang diadakan di salah sebuah dewan di Kampung Takapan dekat sini, baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Arifin turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri (Hajiji) kerana telah memperuntukkan 20 buah rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap DUN di Sabah, yang kini telah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.
Jelas beliau, inisiatif Ketua Menteri adalah sejajar dengan usaha untuk menoktahkan miskin tegar sekaligus berjuang bagi membela nasib rakyat memerlukan yang secara tidak langsung akan menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan.
Tambahnya, Membakut juga akan menyumbang menurunkan peratusan kadar miskin tegar di Sabah dengan melaksanakan program-program kerajaan yang berimpak dan berkesan bagi memastikan sasaran itu dapat dikurangkan dan dicapai. – Utusan Borneo