RM500,000 Baik Pulih Balai Polis Karakit di Kudat

hazam-karakit.jpg
Kongsi Bersama

KUDAT: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk kerja-kerja membaik pulih Balai Polis Karakit di Pulau Banggi di sini bagi meningkatkan tahap keselamatan dan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk.
Beliau berkata penduduk di pulau itu juga boleh membuat laporan kelahiran dan kematian di Balai Polis Karakit sebelum diambil tindakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setiap bulan.
“Sebuah bot Polis Marin akan ditempatkan di Pulau Banggi bagi tujuan rondaan keselamatan,” katanya dalam kenyataan pada lawatannya selama sehari ke Pulau Banggi di sini semalam.
Beliau berkata menerusi program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dijalankan di pulau itu semalam, sebanyak 30 dokumen pengenalan telah diserahkan kepada penduduk merangkumi sijil kelahiran, Mykad dan Mykid.
Pada 4 Ogos lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang mengadakan lawatan ke pulai itu berkata Balai Polis Karakit wajar dinaik taraf bagi memberikan keselesaan kepada anggota bertugas selain meningkatkan keselamatan di pulau berkenaan serta perairan sekitar.
Acryl Sani berkata ketika ini 38 anggota yang diketuai seorang pegawai berpangkat ASP bertugas di Balai Polis Karakit yang sudah usang dan sempit untuk operasi harian.
Kudat ialah sebuah daerah terletak di utara Sabah kira-kira 180 km arah utara dari Kota Kinabalu dan Pulau Banggi terletak di bahagian utara daerah itu.
— BERNAMA
Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top