RM410.39 Juta Bangunkan Sistem Pengairan Dan Saliran Kota Belud

ronald-kota-belud.jpg

Ronald merasmikan program SMART SBB di Kota Belud.

Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Kerajaan sedang membangunkan sistem pengairan dan saliran di Kota Belud yang menelan kos RM410.39 juta bagi menangani masalah air di daerah ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata ini termasuk 17 projek pembangunan dan melibatkan menaik taraf sistem pengairan dan saliran, pembinaan terusan utama, jalan ladang dan infrastruktur lain yang dijangka siap menjelang 2030.

Beliau berkata sistem pengairan dan saliran itu akan membolehkan penanaman padi merentasi 5,000 hektar dua kali setahun apabila siap.

“Pembangunan prasarana itu sudah tentu memberi manfaat kepada petani dari segi peningkatan hasil dan pendapatan, serta menyumbang kepada peningkatan tahap sara diri (SSL) Sabah kepada 60 peratus.”

Ronald berkata demikian ketika berucap merasmikan program Sawah Padi SMART Berskala Besar (SMART SBB) di Kompleks Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di sini pada Ahad.

Beliau berkata inisiatif itu melibatkan 40 petani dengan keluasan tanaman seluas 45 hektar di Kota Belud, sambil menambah program itu dijangka meningkatkan pendapatan petani melalui kerjasama strategik awam-swasta dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Ronald berkata program SMART SBB dibangunkan khusus sebagai pelan hala tuju baharu sektor padi dan beras negara untuk meningkatkan produktiviti ke arah mencapai 75 peratus SSL bagi beras, seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Saya yakin kerjasama strategik antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan syarikat terkemuka akan menandakan permulaan perubahan kepada industri padi dan beras tempatan.”

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM68.97 juta kepada Sabah tahun ini melalui tiga program subsidi input dan satu program subsidi output. Peruntukan itu dijangka memanfaatkan 45,016 pesawah termasuk pesawah bukit.

Pada majlis itu, Ronald turut melancarkan majlis pecah tanah Kompleks IADA yang akan menjadi mercu tanda pembangunan industri padi dan beras di Sabah.

“Selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkukuh peranan IADA dan membantu pembangunan subsektor padi di Kota Belud, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM36 juta untuk kompleks itu dan projek itu dijangka siap dalam RMK-12.”

Beliau berkata Kompleks IADA akan menyumbang ke arah pembangunan kawasan yang lebih holistik dan cekap, selain berfungsi sebagai pusat latihan kepada petani untuk meningkatkan pengetahuan dalam industri padi, bengkel jentera pertanian dan makmal analisis pertanian.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top