RM4.2 juta peruntukan pembangunan wanita di Sabah

isteri-CM.jpg

Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag ketika hadir pada Program Keusahawanan Jhewanita Tahun 2023, di Dewan Masyarakat Tawau pada Khamis.

Kongsi Bersama

TAWAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM4.2 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dalam Belanjawan Negeri 2023 kali ini.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag berkata, peruntukan itu bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita di Sabah.

Katanya, antara program dan projek yang dilaksanakan oleh jabatan itu ialah Program Keusahawanan Ibu Tunggal dan Projek Pembangunan Keusahawanan Wanita yang menyasarkan golongan ibu tunggal, wanita berkahwin berpendapatan rendah dalam kategori B40 serta usahawan wanita.

“Kerajaan Persekutuan melalui Belanjawan Madani 2023 turut memperuntukkan beberapa dana pembiayaan bagi membantu usahawan wanita.

“Ia termasuklah kemudahan pinjaman daripada pelbagai agensi kewangan dengan dana tersedia sebanyak RM1.7 bilion,” katanya.

Sebagai contoh katanya, Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan dana sebanyak RM300 juta untuk menyokong perniagaan mikro yang diusahakan oleh usahawan wanita dan belia.

“Manakala, pinjaman lebih RM1 bilion ditawarkan kepada PKS mikro dan penjaja yang bertujuan membantu meringankan beban para usahawan wanita.

“Kerajaan amat prihatin terhadap pembangunan wanita di negeri ini dan sentiasa berusaha serta mencari jalan memperkasakan ekonomi wanita dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Program Keusahawanan Jhewanita Tahun 2023 di Dewan Masyarakat Majlis Perbandaran Tawau (MPT), semalam.

Program Keusahawanan itu yang dianjurkan oleh JHEWA disertai oleh seramai 350 orang peserta terdiri daripada para peserta kursus kemahiran anjuran jabatan itu usahawan wanita dari sekitar daerah Tawau.

Juliah berkata, kerajaan negeri menerusi Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) juga menyediakan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan golongan usahawan di negeri ini.

“Justeru, usahawan wanita perlu merebut peluang dan memanfaatkan bantuan dan pinjaman yang telah disediakan oleh kerajaan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Menurutnya, keusahawanan yang diceburi oleh kaum wanita amat luas meliputi keusahawanan digital, makanan dan hospitaliti, industri kreatif, teknologi, sektor kecantikan dan banyak lagi.

“Sebab itu kaum wanita kini dilihat lebih aktif terlibat dalam pelbagai sektor perniagaan. Mereka telah memainkan peranan penting dalam dunia perniagaan, mencipta inovasi, dan pelbagai bidang yang lain.

“Walaupun usahawan wanita sering menghadapi cabaran yang unik, termasuk isu ketidakseimbangan bidang kerjaya dan keluarga, namun ia bukan penghalang untuk berjaya kerana banyak sokongan dan rangsangan telah diberikan untuk menyokong keusahawanan wanita.

“Wanita juga telah membuktikan kebolehan mereka untuk mencipta kejayaan dalam bidang perniagaan, bukan sahaja di negeri Sabah malah di seluruh Malaysia,” katanya.

Juliah juga menyarankan para usahawan menyertai kursus, seminar atau program latihan berkaitan bidang keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran, ilmu dan pengetahuan.

Katanya, ia berkaitan perniagaan dan keusahawanan serta menjadikan usahawan yang berjaya sebagai tauladan, inspirasi dan wawasan bagi mengecapi kejayaan dalam bidang itu.

“Sebagai seorang wanita, kita bukan sahaja memainkan peranan penting dalam pembentukan generasi akan datang, malah turut menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi negara.

“Justeru, saya sentiasa menyokong dan mengharapkan kejayaan para usahawan wanita di negeri Sabah, agar setanding dengan kejayaan usahawanusahawan terkemuka yang berjaya menempah nama dan kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburi”, katanya.- Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top