RM306 Juta Diperuntukkan Untuk Jalan Luar Bandar Di Sabah Tahun Ini

mahdzir-1.jpg

Mahdzir beramah mesra dengan penduduk setempat ketika melakukan lawatan kerja ke Rancangan Belia Tiulon, Sook.

Kongsi Bersama

KENINGAU: Kementerian Kemajuan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM306 juta untuk pembangunan jalan luar bandar di Sabah pada tahun ini.

Peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM1.2 bilion untuk Program Jalan Luar Bandar (JALB) di seluruh negara dalam usaha menyediakan sistem rangkaian jalan luar bandar ke bandar yang lebih baik.

Menurut menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid, program JALB dilaksanakan selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) bagi memperluas dan menambah baik rangkaian sistem jalan raya di kawasan luar bandar.

“KPLB menyasarkan untuk memperluaskan 100 peratus liputan infrastruktur asas di kampung di Semenanjung Malaysia dan 80 peratus di kampung di Sabah dan Sarawak.

“Untuk tujuan ini, tahun ini sahaja lebih RM306 juta diperuntukkan untuk pembangunan jalan luar bandar bagi Sabah dan lebih RM221 juta untuk Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek naik taraf jalan Jalan Rancangan Belia Tiulon – Kampung Simbuan di Sook, dekat sini pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Kurup dan Timbalan Menteri KPLB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.

Mahdzir berkata, projek menaik taraf jalan itu telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 tahun ini dengan kos RM152 juta.

“Projek ini melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 20 kilometer dengan lebar berturap 6.5 meter mengikut piawaian JKR R2 dan agensi pelaksana adalah JKR Sabah.

“Jalan ini juga akan menghubungkan penduduk ke pekan Sook dan pekan Keningau serta menghubungkan ke 13 kampung, tiga sekolah, klinik, rumah ibadat dengan anggaran 2,000 orang mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Mahdzir berkata, proses tender projek naik taraf itu dijangka dijalankan pada penghujung bulan ini dan kerja pembinaan dijangka bermula pada suku pertama tahun depan.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada penduduk di kampung sekitar untuk mengangkut hasil tanaman dan menyediakan kemudahan perjalanan untuk penduduk kampung,” tambahnya.

Kredit foto: FB Mahdzir Khalid

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top