KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri membayar insentif kemenangan sebanyak RM304,000 kepada 54 atlet Sabah yang berjaya memenangi pingat dan mengharumkan nama Malaysia dan Sabah dalam empat temasya sukan bertaraf antarabangsa tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Katanya, sebanyak RM91,500 dibayar kepada atlet yang kejayaan di Sukan SEA Ke- 32 Cambodia, RM126,000 untuk Sukan PARA ASEAN Ke-12 Cambodia, RM46,500 untuk Sukan Asia Ke-19 Hangzhou dan RM40,000 untuk PARA Asian Ke-4 Hangzhou. Beliau berkata, pemberian insentif kemenangan itu setimpal dengan kesungguhan dan dedikasi para atlet negeri, selain untuk menarik minat dan penyertaan anak-anak muda Sabah dalam bidang sukan.
“Pemberian insentif ini juga diharap dapat menjadi sumber inspirasi dan penguat semangat untuk mereka lebih berjaya di masa hadapan, serta sejajar dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah untuk melahirkan “Atlet Bertaraf Dunia”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlet Sabah di Temasya Sukan Sea Ke-32 (Combodia 2023), Para Asean Ke-12 (Combodia 2023), Sukan Asia Ke-19 (Hangzhou 2023) dan Para Asian Ke-4 (Hangzhou 2023) di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Isnin.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh atlet negeri ini yang mengambil bahagian dan mencipta kemenangan dalam empat temasya sukan antarabangsa itu.