RM3 juta untuk pembangunan pendidikan di Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat

Hajiji-Ewon.jpg

Hajiji (tiga kiri), Ewon (tiga kanan) dan Philip (kanan) ketika sesi penyerahan Program Pembangunan Pendidikan Negeri Sabah di Kadamaian Square.

Kongsi Bersama

KOTA BELUD: Yayasan Bank Rakyat (YBR) akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta selama setahun melibatkan beberapa parlimen di Sabah tahun depan.

Peruntukan berkenaan dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025.

Menurut kenyataan YBR, objektif inisiatif itu bagi menoktahkan kemiskinan melalui pendidikan memandangkan Sabah adalah negeri yang mempunyai kadar kemiskinan tertinggi di Malaysia.

Selain itu, inisiatif berkenaan juga bertujuan meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan pelajar yang kurang bernasib baik terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar.

Bantuan itu melibatkan kumpulan individu dari kalangan asnaf dan B40 di kawasan Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat.

Seramai lebih 65,000 pelajar dijangka menerima manfaat daripada inisiatif berkenaan.

Penyerahan replika cek Program Pembangunan Pendidikan Sabah Tahun 2025 disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan diiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Upacara penyerahan itu dijalankan semasa Program Santuni MADANI Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)  Bersama Komuniti Kota Belud, pada Ahad di sini.

YBR akan terus memberi sokongan bagi meningkatkan pembangunan modal insan di Sabah khususnya dalam kalangan pelajar melalui bidang pendidikan.

Sepanjang 2024, YBR memperuntukkan sebanyak RM20.4 juta bagi program pembangunan pendidikan dan pembangunan masyarakat di seluruh negara.

Melalui bantuan awal pengajian dan bantuan persekolahan sahaja, seramai 30,572 murid dan pelajar Institut Pengajian Tinggi  (IPT) serta 226 sekolah menerima manfaat daripada inisiatif itu.

Dalam pada itu, Ewon turut berterima kasih kepada pihak YBR kerana sentiasa menyokong usaha meningkatkan tahap pendidikan golongan yang kurang bernasib baik dalam mendapatkan pendidikan terbaik terutamanya pelajar di pedalaman.

Katanya, melalui bantuan RM3 juta itu, ia disalurkan untuk bantuan pendidikan melalui tuisyen dan seminar kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

Selain itu jelasnya, ia juga diagihkan untuk bantuan persekolahan, awal pengajian, pengangkutan ke sekolah dan Program Asrama Desa.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR Mohd Mukhti Abd Rahman; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat Khairul Na’im Arifin; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin. – Penerangan Gagasan Rakyat

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top