KOTA MARUDU: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Sabah membelanjakan RM280 juta untuk menampung pinjaman ahlinya di negeri ini tahun lalu.
Timbalan Pengarah AIM Wilayah Sabah, Majada Tang, berkata tahun ini, sejumlah RM230 juta diluluskan untuk tujuan sama.
“AIM Kota Marudu adalah antara penerima kemudahan pinjaman itu untuk ahlinya berjumlah RM9.1 juta tahun lalu, manakala tahun ini jumlah pinjaman diluluskan RM6.5 juta.
“Walaupun berdepan krisis ekonomi serantau terutama ketika menghadapi COVID-19, AIM berjaya mengekalkan keupayaan sebagai badan kerajaan pemberi pinjaman kepada ahli sepanjang tempoh itu.
“Keadaan itu bukan sesuatu yang mudah, memandangkan ramai ahli yang membuat pinjaman tidak dapat meneruskan perniagaan kerana ketika berdepan krisis ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikiam pada pelancaran produk Kelab Usahawan Wawasan Kota Marudu (WME-C) dan jamuan makan tahunan AIM 2024 di Dewan Komuniti Kota Marudu.
Beliau bagaimanapun berkata, semua itu berjaya ditangani AIM Kota Marudu hasil usaha gigih pengurusannya serta komitmen ahli melunaskan pinjaman dalam keadaan sukar.
“Usaha itu membolehkan AIM Kota Marudu mengekalkan keupayaan sebagai badan pemberi pinjaman kewangan kepada ahli sepanjang berdepan krisis ekonomi serantau terutama ketika menghadapi COVID-19,” katanya.
Majada berkata, kejayaan AIM Kota Marudu yang membanggakan itu wajar menjadi contoh cawangan lain badan sama yang berfungsi memberi bantuan kewangan kepada usahawan kecil yang memerlukan sokongan di Sabah.
Katanya, AIM Wilayah Sabah ketika ini mempunyai 45,100 ahli dan 22 cawangan aktif dan dalam tempoh ketidaktentuan ekonomi, ahli AIM disaran mencari pendekatan lain seperti membuka tanah pertanian jangka pendek atau mengusahakan kebun getah untuk menjamin sumber pendapatan mereka dapat menampung kos sarah hidup harian.
Beliau mahukan agar ahli AIM menghantar anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan kemahiran di kolej komuniti setempat dengan kos yang rendah membolehkan mereka memperoleh sumber pendapatan tetap kelak. – Utusan Borneo