RM27.13 juta untuk pembangunan industri sukan Sabah – Hajiji

Hajiji-cek-sukan.jpg

Hajiji menyampaikan insentif kemenangan kepada perenang para negara Abd Halim Mohammad yang cemerlang di Sukan PARA ASEAN Ke-12 Cambodia.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM27.13 juta kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) negeri menerusi Belanjawan Negeri 2024 untuk mengurus sekali gus membangunkan industri sukan pada tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata sebanyak RM20 juta daripada peruntukan itu adalah untuk pengurusan dan pembangunan sukan prestasi tinggi oleh Majlis Sukan Negeri Sabah, manakala RM5.05 juta untuk pemberian sukan dan selebihnya RM2.08 juta bagi pembangunan sukan massa.

“Kerajaan negeri terus memperuntukkan perbelanjaan besar dan konsisten kepada KBS Sabah bagi memastikan lebih banyak aktiviti sukan dapat dijalankan selain menyediakan prasarana dan teknologi sukan yang moden dari semasa ke semasa.

“Selain itu, komitmen ini juga bagi memenuhi keperluan atlet untuk berlatih dengan lebih efisien dan bertanding pada tahap tenaga maksimum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan pencapaian atlet Sabah di temasya Sukan SEA ke-32 dan Sukan Para ASEAN ke-12 di Kemboja, serta Sukan Asia ke-19 dan Sukan Para Asia ke-4 (Hangzhou), di sini semalam.

Hajiji berkata Sabah mempunyai visi untuk melahirkan atlet bertaraf dunia berlandaskan kepada tiga teras iaitu sukan prestasi tinggi, industri sukan dan sukan massa, selain turut menggalakkan rakyatnya terus bergiat aktif dalam sukan demi meningkatkan tahap kesihatan serta kecergasan.

Beliau turut gembira terhadap program sukan dilaksanakan kementerian berkaitan yang sentiasa komited membuat perancangan komprehensif untuk pembangunan industri itu.

“Saya sentiasa ikut rapat perkembangan, kemajuan dan pencapaian KBS Sabah khususnya melibatkan atlet negeri ini,” katanya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top