RM220,200 Disalur Untuk Bantu Pemandu Bas Sekolah Di Sabah

bas-sekolah.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah telah menyelaras bantuan kepada 367 pemandu bas sekolah berjumlah RM220,200, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah.

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak RM600 disalurkan kepada setiap pemandu bas sekolah yang layak menerusi Bantuan Prihatin Nasional.

“LPKP Sabah juga membantu kerajaan Sabah membekalkan maklumat pemandu bas untuk mendapatkan bantuan RM300 melibatkan seramai 1,194 pemandu bas di negeri ini.

“Bantuan ini adalah inisiatif kerajaan negeri bagi membantu pemandu-pemandu yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bermula Mac 2020,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Vivian Wong (PH-Sandakan) yang meminta penjelasan kementerian mengenai usaha membantu pengendali bas sekolah dan bas berhenti-henti yang terjejas semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berlanjutan di Sabah.

Dalam pada itu, Hasbi berkata langkah Kementerian Kewangan membuka semula program Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 pada 1 Okt hingga 31 Okt dengan peruntukan sebanyak RM600 juta kepada 200,000 usahawan kecil (PKS), turut memanfaatkan pengusaha bas.

“GKP 2.0 ini adalah bantuan RM3,000 secara one-off.  Perkara ini adalah terbuka kepada pengusaha-pengusaha bas yang masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat,” katanya. – Bernama


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top