RM175 juta laksana program noktah miskin tegar di Sabah 2024

miskin.jpg

Gambar hiasan.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM175 juta bagi melaksanakan pelbagai program untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyatnya tahun depan, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ) telah merangka program khusus kepada 22,510 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar yang merupakan data `Locked Figure’ berdaftar di dalam sistem eKasih.

“Program, bantuan, susbidi, peluang pekerjaan dan perniagaan dipadankan dengan keupayaan kumpulan sasar iaitu miskin tegar dan tidak berbentuk satu penyelesaian untuk semua,” katanya ketika mengulung perbahasan Belanjawan Sabah 2024.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.

Hajiji berkata program terlibat adalah:

– MySMJ: Profiler melaksanakan `profiling’ miskin tegar bagi mengenal pasti mereka yang terlibat dan bantuan sesuai

– MySMJ: PBT di mana pihak berkuasa tempatan negeri ini mengambil pekerja sambilan harian dalam kalangan miskin tegar;

– MySMJ: DO kerjasama dengan pasar raya bagi memberi pekerjaan kepada kumpulan itu, My

– SMJ: GLC menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada anak miskin tegar untuk diserapkan ke badan berkanun negeri atau syarikat berkaitan kerajaan negeri.

– MySMJ: Industri membuka peluang pekerjaan kepada anak miskin tegar dalam sektor swasta dan pelabur industri,

– MySMJ:Pendidikan memberi bantuan persekolahan kepada anak miskin tegar, dan

– MySMJ: Care bagi menambah baik sistem bantuan bulanan kebajikan.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan sentiasa serius dalam membanteras kegiatan penyeludupan terutama barang kawalan dan bersubsidi antaranya di pantai timur negeri ini dengan pelbagai operasi bersepadu yang dilaksanakan pelbagai agensi terlibat sepanjang tahun ini.

Katanya, Polis Diraja Malaysia merampas barangan bernilai RM119 juta melibatkan jenayah itu tahun ini, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) (lebih RM17.27 juta), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah (lebih RM5.09 juta), dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (RM2.34 juta).

“Penguatkuasaan dilaksanakan ini menunjukkan kerajaan sangat komited dalam setiap usaha yang dilaksanakan untuk membanteras penyelewengan terutama yang melibatkan penyeludupan barang kawalan yang seharusnya dinikmati rakyat jelata,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top