BEAUFORT: Hadiah berupa wang tunai RM15,000 berserta piala, medal dan hamper menanti johan Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah Terbuka seluruh Sabah yang dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Beaufort selama dua hari bermula 9 Mac ini.
Kejohanan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort dengan kerjasama Beaufort Football Chanel it turut menawarkan hadiah lumayan kepada naib johan dan pemenang tempat ketiga di mana masing-masing akan menerima wang tunai RM7,000 dan RM4,000 serta piala iringan, medal dan hamper.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Beaufort Ak.Mohd Yazri Ak.Mohd Yahya berkata, dengan penganjuran kejohanan bertaraf peringkat negeri itu, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort berjaya membuat perancangan untuk mengembangkan lagi sukan bola sepak di negeri ini khususnya membantu mencungkil bakat-bakat baharu dalam tersebut untuk diketengahkan ke peringkat selanjutnya.
Menurut beliau selain bertujuan menyumbang kepada pembangunan sukan bola sepak, kejohanan tersebut juga menjadi medium untuk menyatukan masyarakat khususnya di kalangan belia untuk terlibat dengan aktiviti-aktiviti sihat bagi menghindari terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral.
“Kita faham sukan bola sepak ada antara sukan yang digemari ramai khususnya di kalangan belia, justeru kejohanan ini selain menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam usaha melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi pelapis kepada pasukan bola sepak negara, kita juga berharap kejohanan ini akan menjadi wadah perpaduan masyarakat kerana penyertaanya terbuka dari seluruh Sabah,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Ak Mohd Yazri menambah kejohanan tersebut akan mengenakan yuran penyertaan sebanyak RM2,000 untuk setiap pasukan yang menyertainya dan pendafaran masih dibuka untuk pasukan atau kelab bola sepak di negeri ini yang ingin menyertai kejohanan itu.
Bagi kelab atau pasukan bola sepak yang ingin menyertai kejoahan ini mereka boleh berhubung dengan Aya di talian 014-6789708, Awis 013-3388871, Dadi 012-8372908 dan Naz 016-2098793 untuk mendapatkan borang penyertaan serta keterangan lanjut.
Berita asal: Jesselton Times