RM101 juta biasiswa untuk anak Sabah – Hajiji

hajiji-2.jpg

Hajiji Noor bergambar bersama 10 penerima Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah di Menara Kinabalu semalam. -Bernama

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah memperuntukkan biasiswa berjumlah RM101 juta untuk anak negeri itu yang melanjutkan pengajian ke universiti dan institusi pengajian tinggi awam tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata peruntukan biasiswa itu memberi manfaat kepada 4,638 pelajar Sabah melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara, dan program pemberian biasiswa itu penting bagi pembangunan negeri ini pada masa hadapan.

Katanya peruntukan biasiswa tahun ini ditingkatkan berbanding RM55 juta pada tahun lepas, sekali gus menunjukkan kerajaan negeri komited dalam memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan.

“Pendidikan antara teras Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu pembangunan modal insan, jadi ini kunci untuk kita maju di masa akan datang, kita memerlukan tenaga rakyat yang pandai dan mahir dalam semua bidang.

“Sebab itu, tahun ini kita tingkatkan dan bagi peruntukan tinggi untuk menaja anak kita belajar, usaha ini berterusan kerana ini fokus utama kita untuk membangunkan anak Sabah menjadi insan berjaya suatu hari nanti,” katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Terdahulu, beliau menyampaikan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah kepada 10 penerima di Menara Kinabalu, di sini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam negeri Datuk Zainudin Aman.

Dalam pada itu, ditanya tentang Belanjawan 2024 yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada 13 Okt ini, Hajiji berkata kerajaan negeri yakin tambahan belanjawan untuk Sabah akan diberikan untuk tujuan pembangunan dan pembekalan.

Sementara itu, seorang penerima biasiswa, Arnie Jaliusih, 20, berkata beliau berazam untuk melakukan yang terbaik dalam pelajaran bagi mencapai cita-citanya sebagai guru, sekali gus menjadi inspirasi kepada anak Sabah yang lain.

Arnie merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens, Kiulu dan antara pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 di Sabah apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Hari ini (Sabtu), gadis berketurunan Dusun dari Kiulu itu akan mendaftar sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Geografi) Dengan Kepujian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.

 

Berita asal: BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top