TAWAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk peningkatan kemudahan infrastruktur pelancongan di Taman Bukit Tawau di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Projek ini telah dimulakan pada tahun 2021 dan dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan depan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), Datuk Jafry Ariffin berkata, pihak Taman-Taman Sabah perlu fokus untuk memberikan dan menaik taraf perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik memandangkan kawasan tersebut merupakan tumpuan pelancong terutamanya dari kawasan sekitar daerah Tawau.
Sehingga kini, dua projek yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan termasuk Projek Laluan Pejalan Kaki ke Air Terjun Taman Bukit Tawau dengan kos berjumlah RM172,286 dan Pembaikan Viewing Platform Table Waterfall melibatkan peruntukan sebanyak RM183,386 juga telah siap sepenuhnya.
“Kini usaha kementerian selain menaik taraf kemudahan infrastruktur adalah meningkatkan promosi agar mampu menarik kedatangan pelancong kerana Taman Bukit Tawau ini memiliki kelebihan tersendiri,” kata beliau semasa melawat taman tersebut kelmarin.
Jafry juga berkesempatan untuk melawat Batu Bersusun Balung Cocos yang berpotensi untuk dimajukan seterusnya boleh dijadikan sebagai salah satu produk pelancongan berasaskan komuniti.
Batu-batu ini tersusun secara semulajadi. Keadaan batu-batu itu kelihatan seperti di susun oleh manusia namun sebaliknya pembentukkannya adalah semulajadi disebabkan aliran magma selepas letusan gunung berapi, yang mempunyai ketinggian 1,182 meter dari paras laut yang terletak 24km dari utara Bandar Tawau. – Warta Oriental