KUDAT: Kawasan Gua Balambangan yang terletak di Pulau Balambangan di sini akan dinaik taraf agar menjadi pusat tumpuan pelancong di Sabah, khususnya di daerah Kudat.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, untuk tujuan itu kementeriannya memperuntukkan sebanyak Rm1 juta bagi membina infrastruktur asas di kawasan tersebut.
Beliau berkata kemudahan infrastruktur seperti jambatan telah dibina bagi memudahkan pelawat mendarat di pulau itu, dan masuk ke gua batu kapur berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan laut.
“Gua itu adalah di bawah tanggungjawab Pejabat Daerah Kudat, manakala kawasan laut pula adalah di bawah jagaan Taman-Taman Sabah, oleh itu kita akan bekerjasama untuk membangunkan produk pelancongan di kawasan itu.
“Kementerian berharap semua usaha menaik taraf kawasan gua itu akan dapat dilaksanakan pada tahun ini, selepas semua proses prosedur peruntukan kewangan selesai,” katanya kepada pemberita sempena lawatannya ke Taman Tun Mustapha (TTM) di sini, pada Rabu.
Jarak dari Jeti Marina Kudat ke Gua Balambangan mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dengan menaiki bot laju.
Di kalangan penduduk setempat gua tersebut dikenali sebagai Gua Kok Simpul. Ia dianggarkan berusia lebih 60 tahun dan keseluruhannya terdapat kira-kira 27 buah di kawasan berkenaan, termasuk Gua Kok Simpul yang antara keistimewaannya mempunyai batu-batu yang berkilat apabila terkena cahaya lampu suluh.