RM1.02 Juta Bantuan Pendidikan Untuk Beaufort, Membakut

bantuan-bisbah.jpg
Kongsi Bersama

BEAUFORT: Kerajaan negeri menyalurkan RM1.02 juta bantuan pendidikan kepada 103 buah sekolah di Daerah Beaufort dan Daerah Kecil Membakut.

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Dr Mohd Arifin Arif berkata peruntukan bantuan menerusi inisiatif Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS) itu melibatkan 102 buah sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan 37 lagi di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (Jheains).

Manakala, bantuan BISBAH bernilai RM10,000 juga diterima oleh Pejabat Pendidikan Beaufort kelmarin di Dewan Kolej Vokasional Beaufort.

“Pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM15.5 juta bantuan pendidikan bagi bantuan BISBAH dan BAGUS untuk diagihkan kepada semua sekolah di seluruh Sabah.

“BISBAH merupakan bantuan peralatan IT untuk sekolah iaitu satu set komputer desktop, seunit komputer riba, dua unit mesin pencetak dan seunit alat projektor.

“Peralatan-peralatan ini amat diperlukan oleh pihak sekolah khasnya para guru dalam kerja seharian mendidik anak bangsa.

“Manakala, BAGUS pula adalah bantuan kewangan bernilai RM2,000 yang diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membolehkan setiap PIBG melaksanakan aktiviti yang bersesuaian,” jelas beliau.

Tambah Mohd Arifin, pada 19 Januari lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor telah melancarkan Bantuan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2022 yang dilaksanakan melalui Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dengan peruntukan berjumlah RM35 juta untuk disalur kepada pelbagai kumpulan pelajar yang layak menerusi beberapa inisiatif.

Antaranya, Bantuan Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) dan Bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Negeri (BISTARI).”Perbelanjaan yang besar ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan modal insan khasnya anak-anak Sabah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Dalam perkara ini, Kerajaan Negeri Sabah akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan agensi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di Sabah seperti Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan Institusi Pengajian Tinggi,” katanya.

Pada majlis itu, Mohd Arifin juga menyampaikan Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) iaitu bantuan komputer riba khusus bagi golongan pelajar golongan B40 kepada empat orang pelajar di Beaufort dan Membakut.

Turut disampaikan, bantuan daripada Bahagian Zakat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) iaitu Dana Penerima Bantuan Bulanan MUIS berjumlah RM 1,107,600 dan RM 517,800 masing-masing kepada 270 Ketua Isi Rumah (KIR) asnaf fakir bagi Daerah Beaufort dan 126 KIR Daerah Kecil Membakut.

Sumbangan RM5,000 bagi aktiviti dakwah dan keagamaan juga diberikan MUIS kepada Badan Dakwah Daerah Beaufort, Daerah Kecil Membakut dan Pejabat Pendidikan Daerah Beaufort.

Ketiga-tiga badan tersebut turut menerima sumbangan kewangan bagi melaksanakan aktiviti keagamaan masing-masing RM5,000 daripada MUIS dan RM2,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Hadir sama Pembantu Menteri I Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih, ADUN Lumadan, Ruslan Muaram, Timbalan Yang DiPertua MUIS, Malai Ali Malai Ahmad, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Sabah, Omar Raisul As-Salam Sulaiman Omar dan Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Datuk Matbali Musah. – Warta Oriental

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top