Ringgit Dijangka Uji Paras Psikologi Berbanding Dolar AS Minggu Depan

Ringgit-USD-3_20200508195259_theedgemarkets_36.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan mengukuh berbanding dolar AS minggu depan, didorong oleh sentimen positif membabitkan vaksin COVID-19, selain peningkatan prestasi harga minyak mentah, kata penganalisis.

Ketua strategi pasaran global Axi Stephen Innes berkata, jangkaan peningkatan komoditi pada tahun baharu ini, terutamanya kenaikan harga minyak mentah, akan memberi dorongan berganda untuk ringgit.

“Ringgit misalnya menjadi mata wang yang dinilai lebih rendah sepanjang tempoh 2020.

“Namun, kaitan kukuhnya dengan pasaran komoditi kini menjadikan mata wang itu lebih di hadapan.

“Malah ini membolehkan ringgit menguji paras psikologi 4.0 berbanding dolar AS seawal minggu depan,” katanya.

Sepanjang minggu ini, ringgit terus meningkat berbanding dolar AS yang merupakan pengukuhan untuk 10 minggu berturut-turut ketika pasaran tempatan bergerak seiringan dengan prestasi positif harga minyak.

Peningkatan minat terhadap risiko turut memacu peningkatan mata wang Asia sehinggakan ada di antaranya mencecah paras tertinggi sejak beberapa minggu lepas.

Pasaran tempatan ditutup pada Jumaat sempena cuti umum Tahun Baharu 2021 dan akan kembali beroperasi pada 4 Jan, 2021.

Bagi asas perbandingan mingguan bermula Khamis lepas, ringgit menokok 390 mata asas kepada 4.0200/0250 berbanding dolar AS daripada 4.0590/0620 pada minggu sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama, kecuali dolar Singapura.

Ringgit meningkat berbanding yen Jepun pada 3.9018/9078 daripada 3.9153/9193, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4905/4977 daripada 5.5186/5243 dan meningkat berbanding euro kepada 4.9358/9427 daripada 4.9479/9528, Khamis lepas.

Namun berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.0395/0444 daripada 3.0537/0571, sebelum ini.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top