Riduan Kekal Ahli Parlimen Tenom

riduan.jpg

Riduan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Riduan Rubin mengekalkan kedudukan beliau sebagai Ahli Parlimen Bebas bagi kawasan Tenom selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony.

Hakim Dean Wayne Daly membuat keputusan itu selepas mendapati petisyen yang difailkan oleh Peter tidak mematuhi Peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya dibaca bersama Seksyen 32(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Pilihan Raya.

Mahkamah Tinggi, yang menolak petisyen itu dengan kos RM20,000, turut memutuskan bahawa Peter telah disabitkan dengan kesalahan jenayah semasa penamaan calon dan oleh itu, tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengikut Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu, peguam Datuk Ansari Abdullah yang mewakili Peter berhujah bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap itu telah memperoleh perintah penangguhan pelaksanaan hukuman bagi sabitan daripada Mahkamah Sesyen dan oleh yang demikian, Perkara 48(5) adalah tidak terpakai ke atas beliau.

Peguam Tengku Datuk Fuad Tengku Ahmad, yang mewakili Riduan, pula berhujah bahawa Perkara 48(5) adalah terpakai ke atas Peter sebaik sahaja beliau disabitkan dengan kesalahan jenayah dan kekal sebagai individu yang tidak layak bertanding pada PRU sehingga atau melainkan mahkamah mengetepikan sabitan itu selepas rayuan.

Pada 3 Jan lepas, Peter memfailkan petisyen itu yang menamakan Riduan, pegawai pengurus pilihan raya Mas Syazwan Masood, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Ghani Salleh dan SPR sebagai responden untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Tenom selepas kertas pencalonannya ditolak meskipun memperoleh penangguhan pelaksanaan hukuman bagi sabitan terhadap beliau.

Pada 26 Mei 2022, Peter telah dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah memalsukan surat berkaitan kontrak bagi kerja-kerja menyelenggara dan perkhidmatan sistem mekanikal serta elektrikal di Universit Malaysia Sabah.

Bagaimanapun pada 1 Ogos 2022, Mahkamah Sesyen telah membenarkan permohonan Peter untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menetapkan 18 April untuk memutuskan rayuan Peter selepas mendengar hujahan peguam beliau dan pihak pendakwaan.

Sementara itu, Riduan dalam kenyataannya semalam memaklumkan beliau akan meneruskan mandat dan tanggungjawab yang diberikan untuk membantu serta memajukan Parlimen Tenom.

“Saya melihat keputusan ini sebagai simbol kebebasan demokrasi di negara ini. Sama ada daripada pihak pempetisyen atau di pihak saya, marilah kita bersama-sama wujudkan nilai perpaduan untuk mengekalkan keharmonian dan kedamaian yang sedia ada,” katanya.

— BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top