Ribut Petir, Angin Kencang Landa Sabah, Sarawak Mulai Khamis

ribut-petir.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di perairan barat Sabah dan utara Sarawak selama tiga hari mulai Khamis ini, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Berdasarkan ramalan cuaca signifikan yang dikeluarkan MetMalaysia pada 2 petang ini, keadaan itu diramal berlaku berikutan satu sistem tekanan rendah dijangka terbentuk di barat Filipina dan bergerak ke arah barat laut menuju ke selatan China.

“Keadaan ini dijangka menyebabkan peningkatan kelajuan dan penumpuan angin baratan di perairan barat Sabah dan utara Sarawak dalam tempoh 13 hingga 15 Julai.

“Ini berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di kawasan berkenaan dalam tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, MetMalaysia juga telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora bagi perairan Laut China Selatan berkuat kuasa pada 15 sehingga 18 Julai ini.

Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
— BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top