Ribuan terkandas di terminal feri Labuan berikutan lonjakan permintaan

feri-labuan.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

LABUAN: Lebih 1,000 pengembara dilaporkan terkandas di Terminal Feri Roll-On Roll-Off (Ro-Ro) Labuan apabila perkhidmatan feri antara Labuan dan Menumbok bergelut untuk memenuhi lonjakan permintaan penumpang yang mahu pulang ke kampung.

Peningkatan jumlah penumpang itu menyaksikan lebih 10,000 penduduk dari Sabah, Sarawak dan Labuan menuju ke tanah besar Sabah dan Sarawak sempena Pesta Kaamatan, sambutan Hari Gawai dan cuti sekolah.

Berikutan itu, Labuan Point Enterprise, syarikat pengurusan tiket yang menyelia perkhidmatan feri Ro-Ro Labuan-Menumbok-Labuan, semalam mengumumkan penambahan dua perkhidmatan perjalanan harian bagi memenuhi permintaan.

Pengurus syarikat itu, Robert Ling berkata jadual asal terdiri tujuh perjalanan tetapi dengan peningkatan permintaan, perkhidmatan ditambah kepada sembilan hingga 11 perjalanan setiap hari, melibatkan operasi gabungan feri Kimanis 1, Putrajaya 1, Joy Star dan Goodwill Star.

“Walaupun terdapat perjalanan tambahan, setiap hari ratusan kenderaan masih dalam senarai menunggu, barisan kenderaan yang menunggu lebih 100 meter sehingga ke padang Labuan Square,” katanya kepada Bernama pada Khamis.

Pengerusi Labuan Mainland Link Sdn Bhd Datuk Chin Hon Vui berkata empat feri kendalian syarikatnya tidak boleh beroperasi sepanjang masa tetapi hanya sehingga 8 malam kerana had kapasiti, penyediaan kru dan atas faktor keselamatan.

“Kami tidak menyangka jumlah permintaan yang luar biasa…keadaan ini tidak pernah berlaku sebelum ini mahupun ketika sambutan Hari Raya dan Tahun Baharu Cina.

“Saya percaya ini disebabkan cuti panjang sempena Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan cuti sekolah,” kata Chin.

Selain itu, pengendali feri Galaxy dan Blue Ocean, Binabalu akan menyediakan tiga perjalanan setiap hari antara Labuan dan Menumbok.

Bagaimanapun, tiket yang ada untuk perjalanan seterusnya hanya pada 2 Jun.

Pengarah Jabatan Laut Labuan Alimudin Amirudin berkata memandangkan musim cuti berterusan, pihak berkuasa menggesa pelancong merancang perjalanan dan bersabar memandangkan penyedia perkhidmatan feri sedang berusaha untuk menampung peningkatan trafik penumpang serta kenderaan.

“Malah hari ini, penyedia perkhidmatan meminta tambahan perjalanan untuk 30 dan 31 Mei yang akan kami luluskan demi kepentingan pengembara,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top