MADRID: Lazimnya kehadiran pelancong di sesuatu tempat dialu-alukan kerana ia turut membawa limpahan ekonomi. Tetapi lain ceritanya di bandar peranginan Palma, Pulau Mallorca, Sepanyol apabila ribuan penduduk menyertai perhimpunan hujung minggu yang diadakan di bawah sepanduk “Pelancong Balik Rumah!”
Menurut laporan agensi berita Jerman, dpa, perhimpunan itu merupakan bantahan penduduk terhadap pelancongan berskala besar di bandar peranginan berkenaan.
Media menganggarkan hampir 10,000 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan itu, tetapi penganjur mendakwa ia disertai kira-kira 25,000 orang. Mereka mengecam peningkatan jumlah pengunjung dan rumah percutian di pulau itu walaupun terdapat kekurangan penempatan untuk kediaman penduduk.
Ramai yang membawa plakad bertulis “Katakan basta!” dan “Mallorca bukan untuk dijual!” pada perhimpunan yang diadakan pada Sabtu malam.
Semua laporan menggambarkan perhimpunan itu sebagai bersejarah, dan salah satu demonstrasi terbesar yang pernah diadakan di Mallorca.
Para penunjuk perasaan termasuk ramai keluarga dengan anak-anak, pelajar sekolah, pelajar universiti dan warga emas serta kesatuan sekerja, kumpulan alam sekitar dan kumpulan warganegara yang lain.
Pelancongan adalah penting untuk Mallorca tetapi ramai yang mengatakan hanya segelintir yang mendapat manfaat, sementara majoriti besar yang bekerja dalam sektor itu bergelut dengan pekerjaan bergaji rendah sambil menghadapi kekurangan perumahan untuk kediaman, kesesakan lalu lintas, bunyi bising dan sampah.
Kepulauan Balearic termasuk Pulau Mallorca mempunyai populasi hampir 1.2 juta. Jumlah pengunjung meningkat kepada hampir 18 juta pada tahun lepas dengan 14.4 juta datang dari luar negara. Perhimpunan ini dianjurkan selepas sebuah restoran runtuh pada Khamis, menyebabkan empat orang maut.