Ribuan sertai perarakan sempena Maulidur Rasul di Sabah

hajiji-maulud.jpg

Kredit foto: FB Hajiji Haji Noor

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ribuan umat Islam menyertai Perarakan dan Majlis Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sabah 1445H/2023M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu hari ini.

Sebelum itu, lebih 100 kontinjen terdiri jabatan dan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan sempena sambutan itu sejauh kira-kira 3 kilometer dari Padang Merdeka hingga ke SICC.

Perarakan diketuai Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin menyaksikan peserta perarakan, yang mengenakan pakaian berwarna warni baju Melayu dan baju kurung, berselawat dan membawa sepanduk menyatakan kasih sayang kepada Rasulullah SAW.

Turut menyertai perarakan itu Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Rakyat Sabah yang berbilang latar belakang agama dan kaum tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perarakan itu, malah ada yang merakam video dan gambar serta melakukan siaran langsung di media sosial masing-masing.

Tun Juhar dan peserta perarakan itu kemudian memasuki SICC untuk menyertai majlis perhimpunan berkenaan.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top