MELAKA: Rakyat Malaysia menyaksikan penandatanganan Buku Watikah Pengisytiharan Malaysia sebagai simbolik sambutan Hari Malaysia edisi tahun ini dan yang pertama kali diadakan di Semenanjung.
Kerajaan Persekutuan diwakili Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.
Majlis turut disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan ribuan rakyat keluarga Malaysia.
Acara ini menjadi tradisi setiap kali sambutan Hari Malaysia diadakan sebagai simbolik memperingati sejarah Pembentukan Malaysia, hasil gabungan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963.
Buku watikah ini diperkenalkan sejak 2010 dan mengandungi kompilasi watikah yang ditandatangani wakil kerajaan Persekutuan, Sabah serta Sarawak edisi sambutan Hari Malaysia terdahulu.
Buku ini disimpan di Jabatan Arkib Negeri Sabah.
Watikah Pemashyuran Malaysia yang pertama ditandatangani Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 16 September1963 dalam Bahasa Malaysia dengan tulisan jawi, dan Bahasa Inggeris.
Ia diperbuat daripada kulit kambing berukuran 70 cm panjang dan 50 cm lebar yang kini tersimpan di Arkib Negara.