‘Reset’ Untuk Bantu Pemain Kecil Ekonomi Sabah – SSK

SSK-1.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Sabah perlu membuat ‘reset’ atau menetapkan semula keutamaan dengan memberi lebih tumpuan kepada aspek mikro ekonomi.

Ketika membuat gesaan itu, Anggota Dewan Undangan Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (SSK) berkata langkah itu penting bagi memelihara, menyokong dan membantu pemain kecil ekonomi di negeri ini.

Beliau berkata pemain kecil ekonomi adalah warga peniaga, pekerja dan usahawan kecil termasuk pemandu grab, peniaga warung, pekerja runcit, pekerja sektor pembinaan, petani, peladang, nelayan dan pekerja bebas merupakan yang paling terjejas pendapatan mereka akibat pandemik Covid-19.

Salleh mencadangkan tiga perkara yang harus diberi keutamaan bagi membantu pemain kecil ekonomi terbabit.

Katanya pertama, kerajaan perlu meneruskan projek pembinaan infrastruktur dan perumahan untuk menggalakkan peningkatan aliran wang dalam ekonomi tempatan sekali gus meningkatkan keyakinan para pelabur dan komuniti tempatan.

Kedua. menyelaraskan fasiliti atau kemudahan sedia ada seperti dana, geran, atau pinjaman wang agar benar-benar memudahkan dan membantu golongan terbabit.

Ketiga, kerajaan perlu menyediakan pasaran bersesuaian untuk pemain kecil ekonomi.

Beliau berkata langkah melakukan ‘reset’ keutamaan bukan satu tindakan drastik, tetapi bertujuan untuk meningkatkan prestasi.

“Sebagai contoh, apabila prestasi telefon pintar kita kurang memuaskan, maka kita perlu ‘reset’ telefon tersebut untuk memperbaiki prestasinya.

“Norma baharu (yang dijalani sekarang) ini sudah menuntut kita “berfikir di luar kotak” dan mungkin juga mewujudkan ‘kotak baharu’,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2021 di Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada Selasa.

Selain itu, Salleh berkata kerajaan perlu meneroka potensi-potensi baharu ekonomi khususnya yang melibatkan sektor perikanan, pertanian dan pelancongan.

Beliau turut mencadangkan beberapa perkara bagi memacu pembangunan di Usukan.

Katanya ini termasuk penjenamaan semula Usukan sebagai gerbang dan sebahagian daripada satu kumpulan daerah-daerah Kawasan Utara Sabah sebagai “Northern Sabah”.

Katanya ia mirip kepada konsep penjenamaan yang lazim dilihat di negara-negara maju.

Bagi membantu merealisasikan cadangan itu, Salleh berkata adalah penting pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo dipercepatkan.

 

Sumber: BNN

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top