RENCANA KHAS: Selepas 30 Tahun Di Sabah, UMNO ‘TATAP’ Relevan

umno1.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

PADA 21 Febuari ini genaplah 30 tahun UMNO  bertapak di Sabah. Serentak dengan itu satu  sambutan minggu  Ulang Tahun UMNO Sabah yang ke-30 diadakan. Bagaimanapun ianya dibuat sehari lebih awal iaitu hari ini (Sabtu – 20 Februari) dengan acara sambutan yang sederhana mengikut SOP yang ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa mulai semalam, 19 Februari.

Sambutan sederhana itu bagaimanapun amat bermakna untuk ahli UMNO di seluruh Sabah  yang kini dianggarkan  melebihi 600,000 orang.

Ketika mula melebarkan sayapnya ke Sabah, UMNO kurang berhadapan dengan cabaran getir seperti yang dialaminya selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) apabila kerajaan Barisan Nasional  (BN) yang diterajuinya kalah di tangan Pakatan Harapan (PH).

Pada awal penubuhan UMNO di Sabah  perubahan  bukan lagi satu pilihan tetapi adalah satu tuntutan, kerana rakyat di negeri ini  ketika itu insaf betapa ketidakstabilan dan perpecahan tidak menguntungkan sesiapa pun. Kesedaran inilah yang membawa  kepada timbulnya hasrat rakyat Sabah untuk melihat UMNO berdiri sebagai harapan baharu yang  menjadi mediumpenyatuan rakyat negeri ini, sebagaimana ia berupaya menyatukan sebahagian besar masyarakat Melayu dan diterima oleh kaum-kaum lain di Semenanjung melalui perkongsian kuasa dalam BN,  dengan  harapan agar melalui kesatuan rakyat itu, akan wujud kestabilan politik di Sabah dan membuka jalan untuk pembangunan pesat negeri dari semua aspek.

Bung…nakhoda UMNO/BN Sabah

Tetapi keadaan berbeza selepas kekalahan BN di tangan PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang disokong oleh beberapa orang bekas pemimpin BN. Warisan dan PH kemudian membentuk kerajaan negeri susulan kejayaan pada PRU14 itu. UMNO Sabah semakin tertekan apabila beberapa pemimpin UMNO di Semenajung Malaysia menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sindrom tersebut turut menular ke Sabah.

Selepas peristiwa ini UMNO Sabah berhadapan dengan pelbagai krisis dugaan,cabaran dan rintangan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin yang diberikan amanah serta kepercayaan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengetuai UMNO Sabah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO  negeri (Ketua UMNO Sabah) dengan sokongan beberapa rakan-rakan yang masih setia dalam perjuangan terpaksa menghadam ujian getir untuk memberikan nafas baharu kepada UMNO Sabah bergerak dalam suasana yang dipenuhi  cabaran, yang akhirnya menjadi pengalaman berharga  yang telah menyuntik semangat mereka untuk terus bergerak ke hadapan walau dalam keadaan sukar.

Menurut Bung “UMNO Sabah telah melalui berbagai-bagai krisis, dugaan,  cabaran, rintangan dan juga halangan lebih-lebih lagi pada masa itu ada dari kalangan UMNO dan juga parti komponen BN meninggalkan parti ini selepas kalah pada PRU14.

“Yang amat menyedihkan apabila 22 orang pemimpin-pemimpin UMNO telah meninggalkan parti ini termasuk Ketua-ketua UMNO bahagian, Timbalan Ketua UMNO bahagian serta juga Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Ketika itu UMNO Sabah telah dianggap sudah tidak wujud dan saya telah diberi amanah oleh presden untuk memimpin UMNO Sabah,” katanya ketika ditemui di sini bagi mengulas sambutan 30 tahun UMNO di Sabah.

Menurut Bung dalam kesukaran beliau bersama rakan-rakan termasuk kepimpinan di seluruh bahagian yang masih  berperinsip dan setia  dalam perjuangan membuat penyusunan semula hampir di seluruh bahagian UMNO di Sabah.

“Bersama rakan-rakan saya terpaksa turun padang menjelajah ke seluruh bahagian UMNO di Sabah dan daripada penerangan yang diterima serta perjumpaan demi perjumpaan saya berkeyakinan, akar umbi UMNO Sabah tetap setia walaupun ramai pemimpin melompat parti.

“Jangkaan saya tidak salah yang melompat adalah pemimpin tetapi ahli-ahli UMNO tetap terus bersama UMNO,” katanya

Bung mengakui walaupun kurang kepakaran dan hanya memiliki sedikit ilmu beliau berusaha turun ke bawah untuk memastikan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi masih bersama-sama dengan UMNO dan realitinya tidak ada satu bahagian UMNO di Sabah dibubarkan.

Ujian pertama Bung sebagai nahkoda UMNO Sabah ialah pilihan raya Kecil Parlimen Kimanis apabila Mahkamah Pilihanraya Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2019 memutuskan  kemenangan Datuk Anifah Aman  dikerusi Parlimen tersebut pada PRU-14  sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati  ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

UMNO Sabah telah meletakkan Ketua UMNO Bahagian Kimanis Datuk Mohamad Alamin yang dicabar oleh Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK itu.

Bung yang merupakan pengarah gerakan PRK Parlimen Kimanis menyifatkan pilihan raya kecil tersebut satu ujian yang amat mencabar bagi dirinya.

“UMNO Sabah telah meletakkan berbagai-bagai hala tuju, namun cabaran yang paling mendebarkan adalah apabila membuat keputusan untuk bertanding di PRK Kimanis. Itulah cabaran terbesar dan pada ketika itu tidak ada mana-mana pemimpin UMNO yang menyatakan bahawa UMNO Sabah akan menang,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis yang lebih dikenali sebagai “ Langkah Kimanis” merupakan  ujian pertama tentang penerimaan rakyat Sabah khususnya di kawasan Kimanis kepada BN dan UMNO. Sekiranya BN/UMNO gagal memenangi PRK tersebut ia merupakan satu petunjuk bahawa prestasi sokongan rakyat kepada BN/UMNO semakin merundum

“Perjuangan perlu ada keyakinan dan kepercayaan. Saya tahu kita berjuang sebagai ‘underdog’ berbanding dengan Warisan yang menerajui sebuah kerajaan negeri yang mempunyai bantuan kewangan yang kukuh.

“Kebetulan PH dan Warisan tidak menepati inspirasi dan keyakinan rakyat dan UMNO berjaya meyakinkan rakyat tentang perkara itu. Ia adalah peluang terbesar yang ada untuk menumbangkan mereka di Kimanis,” tegas Bung.

Kemenangan di PRK Kimanis pulihkan keyakinan UMNO/BN terhadap penerimaan rakyat Sabah.

PRK berlangsung dan Mohamad Alamin  menewaskan Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi, angka yang jauh lebih besar iaitu dengan pertambahan  1,873 undi berbanding 156 yang diperoleh oleh calon BN pada PRU14.

Kemenangan di PRK Parlimen Kimanis bukan sahaja kejayaan manis bagi UMNO namun merupakan isyarat pertama bahawa UMNO lulus ujian untuk  meneruskan perjuangannya. Kemenangan itu juga  turut menafikan presepsi  bahawa UMNO dan BN  telah ditolak di Sabah. Sebaliknya ia memberi gambaran bahawa parti itu semakin pulih seterusnya memberi semangat dan kekuatan baharu untuk UMNO terus mara sehinggalah menghadapi  Pilihanraya Negeri PRN ke-16 (PRN16) pada 26 September 2020.

PRN16 diadakan Selepas Ketua Menteri ketika itu Datuk Seri Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah setelah bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa  memperolehi cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagi UMNO dan Bung sendiri selaku Pengerusi BN Sabah, PRN itu merupakan ujian yang lebih besar ruang lingkupnya kerana melibatkan 73 DUN Sabah, termasuk yang diwujudkan hasil persempadanan baharu.

PRN ini juga akan memberi gambaran secara keseluruhan tentang sokongan rakyat Sabah kepada BN khususnya bagi kerusi kerusi yang ditandingi oleh UMNO. Dari 73 DUN Sabah UMNO bertanding di 31 kerusi dan dari jumlah tersebut UMNO/BN memenangi 14 kerusi.

Walaupun BN/UMNO  boleh memenangi  lebih dari 14 kerusi  pada PRN itu, namun beberapa faktor dilihat menjadi halangan antaranya pertembungan sesama sendiri  dengan parti-parti gabungan dan pemilihan calon yang tidak memenuhi kriteria sebagaimana yang diinginkan oleh rakyat di peringkat akar umbi menyebabkan sasaran UMNO untuk memenangi kesemua kerusi yang ditandingi gagal direalisasikan.

Menurut  Bung walaupun kejayaan ini agak kecil namun ia merupakan petunjuk positif yang BN/UMNO masih diterima oleh rakyat Sabah sekali gus kejayaan tersebut merupakan penyumbang utama kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Keputusan PRN itu telah menjadi satu lonjakan besar dalam keberdayaan  GRS  untuk menguasai politik  Sabah sehingga kami dapat membentuk kerajaan negeri yang baharu,” katanya .

Sambil melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berkesempatan melihat kesan ketara kehadiran UMNO di Sabah,  Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kekuatan BN/UMNO di Sabah  disebabkan dokongan rakyat serta kesepakatan ahlinya yang didasari semangat juang yang padu.

Mengenai masa depan UMNO Sabah  untuk terus kukuh dan relevan, Bung menegaskan bahawa UMNO tidak boleh bergantung kepada jumlah kuantiti keahliannya semata-mata tetapi juga pada nilai dan kualiti setiap anggota di semua peringkat – cawangan, bahagian dan sayap-sayap parti, yang keseluruhannya  perlu diperkasakan.

Justeru itu Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata,  sempena sambutan 30 tahun UMNO melebarkan sayapnya ke negeri ini, beliau  mengingatkan kepimpinan dan anggota parti agar sentiasa berada di atas landasan perjuangan parti yang berpaksikan kepentingan rakyat.

“Hala tuju kita perlu berpaksikan kepada landasan yang tepat iaitu gerak kerja yang berpaksikan kepentingan rakyat. Destinasi kita adalah rakyat kerana kekuatan dan prestasi kita akhirnya ditentukan dan dinilai melalui tahap sokongan rakyat dalam pilihan raya. Jangan lari daripada landasan,” katanya.

 


Penulis adalah Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Ketua Menteri/Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top