Oleh: Musli Oli
1.Dua hari berturut saya sempat berbual-bual dengan pemimpin kanan dari Umno dan PPBM. Kedua-dua pihak bersetuju dengan pucuk pimpinan kedua-dua parti untuk perkuatkan kerjasama politik demi rakyat dan negeri Sabah. Ini saja cara elak politik ‘divide and rule’ dan ia hanya boleh dicapai jika pimpinan terus mengukuhkan hubungan baik dalam GRS terutama hubungan Umno-PPBM. Dalam siri sembang-sembang itu saya turut diajak berbincang dan diminta memberi pandangan dengan harapan sebahagian daripada kandungan perbincangan itu boleh saya petik untuk dijadikan bahan analisis saya untuk kerusi-kerusi parlimen di Sabah.
2. Tiada maklumat yang sulit dalam perbincangan kami kerana siri perbincangan itu bukanlah keputusan rasmi yang muktamad. Ia sekadar proses ‘brainstorming,’ dan cadangan bukanlah keputusan rasmi dari parti-parti yang terlibat. Saya pun memberi cadangan sebagai seorang penulis non-partisan yang tidak berkepentingan politik.
3. Seperkara yang saya tegaskan, sungguhpun PRU yang dijangka diadakan selewatnya bulan Ogos 2021, ia tidak akan memberi impak secara langsung kepada perubahan kuasa politik di peringkat negeri, namun secara tidak langsung kesannya tetap ada dan kita akan menerima impak itu jika berlaku perubahan kuasa di peringkat Persekutuan. Kita di Sabah cuma berharap tiada krisis besar dalam PN-BN dan kerjasama di peringkat Persekutuan dapat dikekalkan.
4. Andai kata kerjasama tidak berlaku di peringkat Persekutuan, Sabah tidak perlu terpengaruh dengan rentak di sana. Sabah mesti ikut rentak negeri Sarawak iaitu mengukuhkan perpaduan parti-parti politik dalam negeri. Dalam mencapai hasrat tersebut pertama sekali soal pembahagian kerusi parlimen negeri harus diputuskan lebih awal di peringkat negeri tanpa campur tangan pemimpin Persekutuan. Pemimpin Sabah baik dari Umno mahupun dari PPBM mesti tegas mempertahankan keputusan tersebut atas nama GRS.
5. Secara umum, ada persetujuan dua parti dominan, Umno dan PPBM bertanding jumlah kerusi parlimen yang sama. Jika Umno bertanding 9 kerusi. PPBM pun bertanding 9 kerusi. Dan baki 7 kerusi lagi untuk PBS, STAR dan PBRS. Parti PPBM mohon 5 kerusi, Beluran, Sipitang, Beaufort, Kudat, dan Libaran dipertahan PPBM dengan sokongan Umno sungguhpun kerusi itu asalnya menang atas tiket Umno. 3 atau 4 kawasan lagi yang dicadangkan ialah Tuaran, Putatan, dan Papar. Perbincangan tentang kerusi parlimen itu sekadar cadangan. Mungkin berlaku perubahan selepas perundingan.
6. Umno akan bertanding di Kota Belud, Sepanggar, Kimanis, Kinabatangan, Kalabakan, Silam, Semporna dan lain-lain. Jika kedua-dua parti bersetuju bertanding 8 kerusi parlimen, lebih banyak ruang kepada parti-parti komponen lain dalam GRS untuk bertanding. Saya bersetuju kedua-dua parti masing-masing bertanding 8 kerusi sahaja. Kita serahkan kepada budi bicara pucuk pimpinan PPBM dan Umno Sabah.