RANAU: Seorang remaja perempuan ditemukan rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Lasing, di sini jam 1.30 pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, mayat mangsa berumur 15 tahun itu ditemukan di ruang tamu rumah tingkat bawah sebaik api berjaya dipadamkan oleh anggota bomba.
Difahamkan, ketika kejadian bapa saudara mangsa cuba untuk menyelamatkannya namun gagal berikutan asap tebal dan api yang marak.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.36 pagi.
Katanya, sebuah jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan lapan anggota bomba digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran dilaporkan membabitkan sebuah rumah dua tingkat terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air jentera,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, api berjaya dikawal jam 2.55 pagi dan terdapat seorang remaja perempuan ditemukan rentung di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.
“Mayat mamgsa kemudian dibawa keluar dari lokasi kebakaran dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 4.26 pagi,” katanya.
Oleh:
Vivi Olviana Najurus/Utusan Borneo