KOTA BELUD: Remaja perempuan yang hilang selepas hanyut dibawa arus sungai semasa menjalankan aktiviti mandi di Daradaat View Kampung Ratau, ditemukan lemas.
Mangsa berumur 14 tahun yang hilang sejak Isnin lalu, dilaporkan ditemukan kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata, operasi SAR yang memasuki hari ketiga dimulakan pada jam 8 pagi.
Katanya, operasi pencarian yang membabitkan beberapa kumpulan itu dijalankan di sekitar kawasan permukaan sungai dan sepanjang pinggir sungai.
“Mangsa berjaya ditemukan pasukan bomba kira-kira lima kilometer daripada Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 10.20 pagi.
“Pasukan bomba kemudian membawa mayat mangsa ke PKTK sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Syazwan berkata, susulan penemuan mangsa, operasi Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 12 tengah hari.
Katanya, operasi kali ini membabitkan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Bomba Bantuan (PBB), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kudat.
“Operasi SAR turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dibantu Badan Bukan Kerajaan (NGO) Rafting Borneo.
Terdahulu mangsa dilaporkan hilang semasa berada di sungai terbabit kira-kira jam 2.30 petang 28 Ogos lalu.
Menurut saksi kejadian, mangsa dilaporkan lemas di bawah Jambatan Gantung Daradaat View ketika melakukan aktiviti mandi manda bersama keluarga pada jam 2.30 petang semalam. – Utusan Borneo