RANAU: Seorang remaja perempuan ditemui lemas ketika mandi sungai di Kampung Sungangon, Jalan Ranau – Sandakan, di sini, petang semalam.
Mangsa Nerlyne Christine Januai, 13, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan lemas.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.37 petang.
Katanya sepasukan 3 anggota bomba dari BBP Ranau dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 39 kilometer dari balai untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa untuk diperiksa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, pihak KKM mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 7.35 malam,” katanya.