Rekod Kerugian RM28.5 Juta, KPTM Semporna Ditutup Tahun Depan

KPTM-Semporna.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) cawangan Semporna yang merekodkan kerugian sebanyak RM28.5 juta sejak beroperasi 11 tahun lalu, akan ditutup sepenuhnya pada 31 Julai tahun depan, kata Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, KPLB memaklumkan perkara itu berikutan berlaku penurunan prestasi pengambilan pelajar yang ketara setiap tahun.

“Tambahan pula, isu keselamatan di kawasan Semporna turut menyumbang kepada kekurangan pelajar di kampus tersebut.

“Justeru, berdasarkan penjelasan di atas, operasi KPTM Semporna akan ditutup sepenuhnya pada 31 Julai 2022 dan telahpun mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) yang ingin kepastian mengenai penutupan KPTM Semporna serta sebabnya.

Dalam pada itu, KPLB menjelaskan institusi pengajian itu merekodkan purata kerugian tahunan sebanyak RM2.45 juta, berpunca daripada jumlah pengambilan pelajar baharu yang tidak mencapai sasaran serta kos operasi yang tinggi.

Kementerian itu berkata, KPTM memperuntukkan sejumlah RM1.33 juta untuk elaun perpindahan staf dan pampasan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

“Staf KPTM Semporna berstatus tetap ditawarkan untuk berpindah ke cawangan KPTM di Semenanjung atau memilih VSS.

“Pelajar-pelajar yang tidak dapat menamatkan pengajian berdasarkan semester sebenar akan ditawarkan untuk menyambung pengajian yang sama di cawangan KPTM di Semenanjung,” katanya.

Ketika ini, terdapat 169 pelajar sedia ada yang akan menamatkan pengajian secara berperingkat dengan baki 18 pelajar akan menamatkan pengajian pada Julai 2022.

Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 2010 ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. – FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top