RANAU: Tiga buah rumah kediaman terjejas oleh rekahan pada lereng bukit yang dipercayai berpunca daripada kejadian tanah runtuh yang lalu di Kampung Rondogung Lama, Jalan Ranau – Tambunan, di sini, petang semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah, panggilan kecemasan diterima berhubung kejadian rekahan itu pada jam 1.27 petang menerusi talian MERS 999 dan sepasukan anggota diketuai Pegawai Operasi Kanan, PPgB Ridwan Taib bergegas ke lokasi.
Setelah membuat pemeriksaan bersama agensi-agensi lain, penduduk dinasihatkan untuk keluar daripada rumah dan berpindah ke kawasan yang lebih selamat kerana struktur tanah yang tidak selamat dan berkemungkinan akan runtuh pada bila-bila masa.
Setelah memastikan tiada bahaya lain terlibat dan memasang sawar-sawar, operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang.