KOTA KINABALU: Regatta Lepa kali ke-28 akan berlangsung di Semporna pada 17 sehingga 19 November 2023.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, acara itu akan diadakan di Dataran Regatta Lepa dan tema sambutan acara itu pada tahun ini adalah ‘Regatta Lepa: Lambang Perpaduan Masyarakat Madani’.
“Regatta Lepa merupakan acara yang diadakan setiap tahun di Semporna dan pada tahun ini, ia dikelolakan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama-sama dengan Lembaga Pelancongan Sabah dan Pejabat Daerah Semporna.
“Semporna juga telah lama diiktiraf sebagai salah satu tarikan utama Sabah. Pulau-pulau yang menakjubkan dan tempat-tempat menyelam yang indah menjadikannya antara destinasi pelancongan utama di peringkat global.
“Namun, Semporna bukan hanya tentang kecantikan alamnya. Ini juga adalah rumah bagi masyarakat Bajau Laut yang terkenal dengan kemahiran membuat perahu tradisional, yang dikenal sebagai ‘Lepa’.
“Lepa bukan hanya sekadar perahu, tetapi sebuah karya seni yang mewakili warisan dan identiti budaya Semporna,” katanya pada sidang media Regatta Lepa kali ke-28 di sini, kelmarin.
Beliau berkata, antara objektif acara adalah untuk mengekalkan dan memelihara warisan budaya yang kaya dalam komuniti Bajau serta memupuk perpaduan lebih kukuh dalam kalangan ahlinya.
Katanya, ia juga untuk merangsang ekonomi tempatan dengan memanfaatkan potensi pelancongan.
“Mempromosikan Semporna sebagai destinasi budaya yang berkembang pesat serta memastikan pemeliharaan kemahiran pembuatan bot tradisional untuk generasi masa depan,” katanya. – Utusan Borneo