Redah Jalan Tanah Merah 70 Km Untuk Program Vaksinasi Penduduk Pedalaman Kota Marudu

Maximus-vaksinasi-kota-marudu.jpeg
Kongsi Bersama

KOTA MARUDU: Petugas Pejabat Kesihatan Kota Marudu sanggup meredah jalan tanah merah kira-kira 70 kilometer dari pekan daerah ini, dengan keadaan bentuk muka bumi berbukit bukau semata-mata ingin melaksanakan program vaksinasi buat penduduk di pedalaman Sonsogon, di sini.

Perjalanan mengambil masa kira-kira tiga jam dengan menaiki pacuan empat roda itu tidak menghalang semangat petugas kesihatan terdiri daripada doktor dan jururawat serta beberapa wakil badan bukan kerajaan bagi memperluaskan manfaat program itu kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Program berlangsung tiga hari bermula kelmarin itu bertujuan memastikan tiada seorang pun rakyat termasuk penduduk di lima mukim dalam kawasan Sonsogon tercicir daripada menerima suntikan vaksin COVID-19 disediakan kerajaan. Mukim Kampung Sungai Magandai menjadi lokasi pertama mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika berucap melancarkan program itu berkata seramai 300 orang di sekitar kawasan itu dikenal pasti sebagai penerima vaksin bagi fasa pertama Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi COVID-19 Kota Marudu.

“Terdapat lebih 700 penduduk dari lapan kampung di kawasan perbukitan ini…daripada jumlah itu, sekitar 300 orang disasarkan untuk menerima vaksin di mukim ini,” katanya.

Setakat ini, seramai 15,265 orang telah mendaftar untuk program vaksinasi melalui MySejahtera di Kota Marudu, dan 6,018 daripadanya telah menerima sekurang-kurangnya suntikan vaksin dos pertama, manakala 1,949 individu telah melengkapkan kedua-dua dos.

Ongkili yang memuji pelaksanaan Program Jangkauan Komuniti Vaksinasi COVID-19 itu berkata ia memberi peluang kepada masyarakat di luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan suntikan vaksin terutama bagi penduduk yang berdepan kesukaran untuk bergerak keluar dari kawasan mereka.

“Kami berharap agar lebih ramai penduduk hadir untuk mendaftar dan menerima vaksin sepanjang program ini diadakan di sini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu.

Beliau berkata walaupun vaksin COVID-19 bukanlah penawar, ia sekurang-kurangnya dapat membina antibodi bagi melawan virus sekali gus mencegah penularan wabak berkenaan.

“Kita perlu melindungi diri kita terlebih dahulu untuk melindungi orang lain. Oleh itu, jangan sesekali takut untuk menerima vaksin. Ia dapat menyelamatkan nyawa,” katanya.-  BORNEO TODAY


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top