KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah hari ini mengesahkan berlaku fenomena air merah atau Red Tide yang disebabkan ledakan pembiakan alga beracun di beberapa perairan sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran, di sini.
Menterinya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata Jabatan Perikanan Sabah sudah mengeluarkan notis amaran berhubung fenomena itu yang meminta orang ramai tidak memakan kerang-kerangan kerana dikhuatiri mengandungi toksik atau racun daripada alga terbabit.
Katanya, jabatan juga memutuskan melaksanakan larangan sementara aktiviti tuaian, jualan dan pengambilan kerang-kerangan dari kawasan yang terjejas akibat fenomena ledakan alga berkenaan.
Beliau berkata, dua jenis alga dikesan menjadi punca fenomena itu iaitu Margalefidinium polykrikoides (Cochlodium) dan Pyrodinium bahamense mengeluarkan toksin berbahaya yang boleh menjejaskan kesihatan manusia dan hidupan marin.
“Kehadiran kedua-dua alga beracun itu dikesan menerusi ujian sampel air laut yang diambil di beberapa lokasi sekitar perairan Kota Kinabalu pada 16 Februari lalu.
“Fenomena Red Tide sering berlaku di perairan pantai barat Sabah, bermula dari Sipitang ke Kuala Penyu, Tuaran dan Kota Belud. Bagaimanapun, di perairan pantai timur Sabah fenomena ini jarang berlaku dan tidak pernah dilaporkan sejak lebih 20 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata notis amaran dikeluarkan Jabatan Perikanan Sabah adalah berdasarkan garis panduan dan prosedur yang ditetapkan.
Katanya, notis berkenaan menyatakan berlaku ledakan alga Red Tide atau fenomena air merah ketika ini di perairan Kota Kinabalu dan dijangka merebak ke perairan Tuaran.
Beliau berkata, kehadiran dua jenis alga berkenaan dianggap berbahaya apabila melebihi ketumpatan 2,000 sel seliter bagi alga Margalefidinium polykrikoides dan 800 sel seliter bagi alga Pyrodinium bahamense.
“Walaupun alga Margalefidinium polykrikoides tidak membahayakan manusia, ia berbahaya kepada ikan, khususnya yang diternak dalam sangkar.
“Ledakan alga berkenaan dalam kadar ketumpatan sel yang tinggi juga boleh menyebabkan kematian ikan kerana alga berkenaan melekat pada insang dan menghalang pernafasan ikan.
“Notis amaran sudah dikeluarkan sebagai peringatan kepada nelayan di kawasan Kota Kinabalu dan Tuaran supaya berjaga-jaga bagi mengelak kerugian akibat kematian ikan ternak,” katanya.
Sementara itu, katanya alga Pyrodinium bahamense dikenal pasti berbahaya kepada manusia jika termakan.
Toksik daripada alga berkenaan, katanya boleh terkumpul dalam hidupan bercengkerang seperti kerang, tiram, kupang dan kepah yang boleh menyebabkan Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) jika dimakan manusia.
“Simptom PSP boleh dikesan berdasarkan rasa kesemutan, kebas, seperti terbakar dalam mulut, bibir dan lidah, diikuti sakit kepala, pening, loya dan muntah.
“Dalam kes yang teruk ia menyebabkan lumpuh, kesukaran pernafasan, koma dan kematian. Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak memakan sebarang kerang-kerangan dari kawasan terjejas,” katanya.
Sebagai langkah pencegahan, Jeffrey berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Sabah mengambil beberapa pendekatan termasuk melarang penuaian, jualan dan pengambilan kerang-kerangan dari kawasan yang terjejas akibat Red Tide untuk sementara waktu.
Katanya, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak berenang di perairan sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran sehingga fenomena air merah atau Red Tide reda. – BHarian