Rebat Elektrik Kepada Penyedia Penginapan Bagi Bantu Sektor Pelancongan Di Sabah

hotel.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan subsidi atau rebat ke atas bil elektrik khususnya kepada penyedia penginapan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 bagi membantu sektor pelancongan di Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin berkata, Kabinet negeri bersetuju memberikan rebat berkenaan untuk tempoh enam bulan dari Januari hingga Jun 2021.

Katanya, rebat bulanan bagi hotel bertaraf empat  dan lima bintang adalah sebanyak RM15,000 atau 30 peratus mengikut mana lebih rendah, manakala hotel bertaraf satu hingga tiga bintang dikenakan rebat sebanyak 30 peratus daripada bil elektrik sehingga RM3,000 mengikut mana yang lebih rendah.

Menurutnya, bagi penginapan orkid dan tidak bertaraf, rebat yang diberikan adalah 30 peratus daripada bil elektrik sehingga RM600 mengikut mana yang lebih rendah. Rebat berkenaan akan disalurkan melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

“Ini adalah sebahagian daripada pelan hala tuju pemulihan negeri dalam mengembalikan perkembangan industri pelancongan di Sabah.

“Seperti yang semua maklum, pelancongan adalah salah satu elemen teras dalam rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis taklimat dan makan tengah hari bersama Duta Pelancongan Sabah Datuk Lee Chong Wei anjuran STB di sini pada Rabu.

Jafry berharap, inisiatif berkenaan akan mendorong penggiat pelancongan di Sabah untuk lebih berdaya saing.

Pada masa sama katanya, ia juga memberikan tawaran menarik kepada pengguna untuk memilih Sabah sebagai destinasi percutian pilihan mereka.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top