KOTA KINABALU: Tokoh politik veteran, Datuk Haji Mohd. Noor Mansoor, meminta Pemimpin Sabah bertindak lebih berani dan segera merealisasikan impian mewartakan Sabah Day.
Beliau berkata demikian semasa sambutan Sabah Day Ke-58 yang disiarkan secara langsung dari Ibu Pejabat Parti Progressif Sabah (SAPP) di Likas, sini kelmarin.
Program sambutan kali ini terpaksa diadakan secara hibrid kerana pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam persidangan video yang terdiri daripada para pemimpin SAPP, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan ahli-ahli parti serta aktivis dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mosik, Sorak Sabah, Mondopitan, Pandaras dan lain-lain.
“Sekiranya Sarawak dengan bangganya dapat merayakan 22 Julai setiap tahun sebagai Sarawak Day sejak 2016, mengapa tidak kita dengan Sabah Day,” tegasnya.
Bekas Menteri Kewangan semasa era Kerajaan Berjaya itu juga meminta agar rakyat Sabah untuk selalu bersatu dan tidak mengikuti budaya politik yang kurang matang.
Dia juga mengingatkan bahawa Malaysia hanya dibentuk sebagai Persekutuan baharu pada 16 September 1963, iaitu 58 tahun yang lalu.
Mengingati peristiwa-peristiwa pada 31 Ogos 1963, dia mengatakan Sir William Goode Gabenor Borneo Utara (Sabah) telah mengeluarkan kenyataan mengenai Sabah Day, pemerintahan sendiri Sabah dan Kemerdekaan Sabah sebagai akhir penjajahan British.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Jeffery Kitingan dalam rakaman ucapannya yang disiarkan dalam talian menggunakan aplikasi Zoom mengatakan bahawa sudah tiba masanya Sabah mencapai status pemerintahan sendiri.
Menurutnya, Sabah Day apabila diwartakan adalah pelengkap kepada pembentukan Malaysia.
“Ini akan membuka pintu kepada lebih banyak peluang untuk Sabah di masa depan, dan meningkatkan status Sabah sebagai sebuah Wilayah seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin di Sarawak awal tahun ini,” tambah Jeffrey.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga sangat optimis bahawa Sabah Day akan diwartakan dan menjadi perayaan rasmi Sabah mulai tahun depan.
“YAB Ketua Menteri pada dasarnya bersetuju dengan cadangan mewartakan Hari Sabah dan begitu juga dengan anggota Kabinet yang lain,” tambah Jeffrey.
Beliau juga mengatakan kertas cadangan sedang dalam proses diselesaikan dan akan dibentangkan di Kabinet untuk tindakan selanjutnya.
Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee juga menaruh harapan dan keyakinan yang tinggi bahawa Sabah Day akan diwartakan dan disambut secara rasmi oleh Kerajaan pada setiap 31 Ogos, akan menjadi realiti.
Yong juga berkongsi keterujaannya atas perkembangan positif di kalangan rakyat Sabah, badan korporat dan pemimpin politik yang telah mula meletakkan hashtag “Sabah Day” di rangkaian media sosial.
“Sabah Day adalah perjuangan kita semua, 2023 adalah salah satu cabaran terbesar iaitu Sambutan Jubli Intan Sabah Day ke-60 tahun. Semoga kita dapat merayakannya secara besar-besaran di seluruh Sabah,” tambahnya.
Yong, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik mengajak para aktivis untuk meneruskan usaha mereka mendidik masyarakat mengenai sejarah Sabah dan bekerja keras untuk mempromosikan Sabah Day.
Japiril Suhaimin, Pengerusi Penganjur Sambutan bagi kali ketiga, membuat kesimpulan bahawa sambutan Sabah Day telah membuktikan bahawa SAPP dan STAR sentiasa konsisten dalam perjuangan mereka.
Dia mengucapkan terima kasih kepada semua peserta dari seluruh Sabah dan juga orang-orang Sabah di luar negara dan yang tinggal di Semenanjung. Dia menambah bahawa selain penyertaan melalui aplikasi Zoom, penganjur juga telah menyiarkannya secara langsung melalui Facebook. – Warta Oriental/FMT