RDA akan ditubuhkan untuk bangunkan bandar sempadan Sabah – Kalimantan

Serudong-1-4-scaled.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Wilayah (RDA) akan ditubuhkan untuk menguruskan bandar sempadan baharu di Serudong, Kalabakan yang akan menjadi salah satu daripada empat pintu masuk dari Kalimantan, Indonesia ke Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, cadangan penubuhan Lembaga Kemajuan Wilayah Sabah Maju Jaya Serudong  ini akan dibentangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2022 pada bulan depan.

Sambil menyifatkan RDA sebagai pemangkin pertumbuhan di Serudong, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri komited untuk memastikan bandar sempadan dibangunkan seperti yang dirancang, dengan menjangkakan pembangunan besar yang akan berlaku berikutan rancangan Indonesia untuk memindahkan ibu kotanya ke Kalimantan Timur.

Bandar sempadan itu akan merangkumi zon perindustrian dan komersial, perumahan dan kemudahan lain yang akan dibangunkan di sekitar pusat Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS).

Pembangunan pusat CIQS di sempadan Malaysia – Indonesia di Borneo akan dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) September lalu.

Hajiji berkata, pembangunan sempadan Sabah – Kalimantan akan menjadi antara perkara yang diperkatakan apabila Perdana Menteri bertemu dengan Presiden Indonesia Joko Widodo semasa lawatannya ke republik itu.

Pintu masuk lain ialah di Long Pasia, Pagalungan dan Sebatik.

Memberi taklimat kepada Ketua Menteri dan ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah mengenai rancangan konsep sempadan Serudong (Malaysia) – Simanggaris (Indonesia) di Menara Kinabalu di sini hari ini, Pengarah Perancangan Bandar Sempadan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), TPr Haji Mursidi Sapie berkata, antara fungsi RDA adalah bertindak sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta menyelia pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk Rosmadi Sulai dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Hashim Paijan.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top