KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Jan depan untuk mendengar rayuan bekas menteri pembangunan infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan terhadapnya bagi kesalahan menggunakan dokumen palsu.
Peguam S Devanandan yang mewakili Peter, 51, yang juga ADUN Melalap berkata, tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar, Nurul Ain Hamzah ketika pengurusan kes hari ini.
“Pendengaran rayuan itu akan berlangsung secara fizikal pada 9 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan pihak pendakwaan dan pembelaan diminta memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 13 Jan 2023,” katanya ketika dihubungi.
Prosiding hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Haresh Prakash Somiah.
Sementara itu, rayuan pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi yang membenarkan permohonan Peter bagi menggantung hukuman dan sabitan terhadapnya akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan pada Rabu ini.
Pada 26 Mei lepas, Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter, selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Peter, sebagai pengarah urusan Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat timbalan naib canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk menipu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – BERNAMA