Rasuah, Tuntutan Palsu: SPRM Sabah Tahan Bekas Pengarah, Pegawai Kanan Agensi Kerajaan

sprm.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang bekas pengarah dan pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai mengemukakan tuntutan palsu lebih RM175,000, selain meminta rasuah hampir RM60,000 daripada kontraktor.

Dua suspek lelaki berusia lingkungan 44 hingga 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu, kira-kira 12.30 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, kedua-dua suspek menggunakan lesen beberapa syarikat bagi melakukan tuntutan palsu berhubung kerja pembekalan makanan dan minuman lebih RM175,000.

“Bagaimanapun, tiada pembekalan mahu pun program dilaksanakan oleh pihak terbabit. Dalam pada itu, bekas pengarah terbabit juga dipercayai menerima bayaran secara bulanan lebih RM60,000 daripada seorang kontraktor dalam tempoh 2017 hingga 2019,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 18 Akta SPRM 2009.

“Tangkapan ini adalah hasil kerjasama SPRM Sabah dan unit integriti agensi kerajaan berkenaan. Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini bagi tujuan permohonan reman,” katanya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top