Rasuah: Bekas Pengurus Kanan SESB Dipenjara 11 Bulan

rasuah-sesb.jpg

Tertuduh (kiri) ketika hadir di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Seorang bekas pengurus kanan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dipenjara 11 bulan selepas mengaku salah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM59,000 pada 2017.

Tertuduh, Sufian Abdul Ghani, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, pada Selasa.

Sufian yang sebelum ini bertugas sebagai Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik SESB didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Berdasarkan ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh secara rasuah menerima wang RM59,000 secara berasingan pada 9 Mac, 4 Mei dan 16 Oktober 2017 daripada sebuah syarikat sebagai dorongan supaya semua urusan tuntutan kerja dilakukan syarikat terbabit terhadap Jabatan Pengurusan Gudang dan Logistik SESB lancar.

Suapan itu juga bagi memastikan syarikat berkenaan mendapat projek kerja kecemasan daripada jabatan terbabit.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan bagi pertuduhan pertama, dia dijatuhkan hukuman penjara enam bulan bermula hari ini serta denda RM220,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayarnya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut dipenjara enam bulan bermula hari ini dan denda RM25,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya, manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dipenjara enam bulan bermula hari ini dan denda RM50,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya.

Hukuman terhadap tertuduh dijalankan serentak.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak dapat membayar semua denda berkenaan lalu dikenakan hukuman penjara selama lima bulan lagi untuk ketiga-tiga pertuduhan menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara selama 11 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top