Rasmi: Zuraida Presiden Baharu PBM

zuraida.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin secara rasmi dilantik sebagai presiden baharu Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM semalam.

Dalam satu kenyataannya hari ini Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad berkata perkara itu adalah satu daripada tujuh usul yang diluluskan sebulat suara pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022, Sabtu lalu.

Menurut beliau mesyuarat Majlis Tertinggi PBM bersidang semalam dan mengesahkan tujuh usul yang diluluskan sebulat suara dalam PAT 2022.

“Antara usul yang diterima sebulat suara adalah untuk melantik Zuraida sebagai Presiden PBM,” katanya.

Beliau berkata, Majlis Tertinggi sudah meneliti dan menjalankan proses yang wajar serta bersesuaian dengan garis panduan perlembagaan parti berhubung pelantikan itu.

“Majlis Tertinggi dan seluruh ahli PBM mengucapkan tahniah di atas pelantikan ini dan mendoakan Zuraida terus diberi kekuatan bagi meneraju parti untuk terus cemerlang dalam memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kita juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Larry Sng yang memimpin parti sebelum ini,” katanya.

Minggu lalu, Larry dalam satu kenyataan di Facebooknya menegaskan beliau masih presiden PBM dan tidak akan meletakkan jawatan sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

Beliau dilaporkan berkata, proses peralihan kuasa susulan keputusan parti itu melantik Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebagai ‘presiden pengganti’ perlu dilaksana mengikut prosedur yang sewajarnya.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top