TAWAU: Rang undang-undang enakmen yang akan memberi laluan kepada pembentukan Suruhanjaya Tenaga Sabah akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada April tahun depan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata dengan penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah, negeri ini akan mempunyai kawalan penuh terhadap pengurusan sumber tenaganya, khususnya tenaga elektrik.
“Ini adalah sebahagian daripada tuntutan Kerajaan Negeri GRS-BN (Gabungan Rakyat Sabah dan Barisan Nasional) berhubung hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena lawatannya ke Tawau.
Sementara itu, beliau berkata beberapa projek di Tawau akan dimulakan tahun depan termasuk pembinaan jalan Jalan Utara Tawau dan Loji Rawatan Air Cinta Mata Tawau bernilai RM400 juta.
Selain itu, mengambil kira penyertaan aktif Tawau dalam memajukan kebudayaan, beliau berkata kerajaan negeri GRS-BN akan membina Pusat Kebudayaan Antarabangsa Tawau (TICC).
Hajiji berkata kerajaan negeri telah berusaha untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik termasuk daripada sektor minyak dan gasnya melalui Petronas.
“Semua hasil ini akan disalurkan kembali kepada rakyat. Tiada guna kita bercakap mengenai projek mega tetapi rakyat terus miskin,” katanya lagi. — Bernama