Rancangan Pembangunan Terdahulu Gagal Capai Sasaran – Shafie

shafie-apdal-parlimen.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mahu kerajaan persekutuan menubuhkan satu badan pemantau Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi memastikan laporan berkala kepada Parlimen dapat dilakukan.

Langkah ini bagi memastikan rancangan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara berkesan. Tidak seperti rancangan pembangunan sebelum ini yang gagal mencapai sasaran ditetapkan.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) ini berkata, bagi tempoh 20 tahun kebelakangan ini iaitu sejak RMK8 hingga RMK11 meliputi rangka Rancangan Jangka Panjang ke-3 iaitu dari tahun 2000-2010 dan Model Baru Ekonomi, tahun 2010-2020, perbelanjaan kerajaan sepanjang tempoh tersebut bernilai RM860 billion dengan nilai purata RM43 billion setiap tahun.

Jika diperhatikan biarpun perbelanjaan itu cukup besar namun, negara ini masih gagal mencapai sasaran Wawasan 2020. Ini dapat dilihat menerusi kadar pertumbuhan ekonomi yang perlahan dari 1971 hingga 2020.

“Pada 1971 hingga 2015, kadar pertumbuhan negara 6.2 peratus setahun dan kemudian ia menurun kepada 2.7 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2020.

“Pada 2020 pula, Pendapatan Negara Kasar Malaysia pula adalah 20 peratus iaitu di bawah tahap negara maju,” katanya semasa perbahasan RMK12 dalam Persidangan Parlimen, di Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau berkata, peruntukan RM400 bilion menerusi RMK-12 adalah satu peruntukan yang besar dan penting maka, usaha mewujudkan peluang pekerjaan bagi sektor berkemahiran tinggi perlu diambil kira.

“Kita sedar bahawa terdapat cabaran globalisasi, liberalisasi mahupun pandemik Covid-19 yang memungkinkan segala perancangan pembangunan negara tidak menepati sasaran.

“Namun, pada masa sama, kita perlu bermuhasabah diri dengan melihat segala kekurangan yang ada. Adalah penting untuk kita menilai cara pelaksanaan, sama ada terdapat banyak ketirisan atau apa saja penyebab lain yang membuatkan kita tidak berjaya,” katanya.

Beliau berkata, lihat sahaja kepada pembangunan di Sabah dan Sarawak. Walaupun kedua-dua negeri ini kaya dengan sumber asli namun, Sabah dan Sarawak masih jauh ketinggalan dari aspek pembangunan berbanding negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Justeru itu, kerajaan perlu jujur dan menunaikan kesemua 21 tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang mana 17 daripadanya berjaya ditunaikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pada masa sama, Mohd Shafie mahu kerajaan mencari cara dan kaedah untuk mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar, jurang antara wilayah, jurang antara kaum, jurang antara kumpulan pendapatan terutamanya dari golongan B40 dan miskan bandar.

Usaha ini perlu menjadi teras rancangan pembangunan negara. Hanya dengan mengurangkan jurang perbezaan, maka barulah kemakmuran dapat dirasai bersama secara saksama.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan dasar afirmatif perlu menekankan prinsip “adil dan saksama” bagi mengurangkan jurang pendapatan antara kaum serta jurang pendapatan antara golongan elit Bumiputera T20 dengan Bumiputera berpendapatan rendah B40.

Tambahnya, keutamaan sepatutnya diberikan ke atas usaha untuk menghapuskan halangan yang ada dan memberi fokus kepada usaha memberi modal dan kapital, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dan paling penting adalah menekankan daya tahan.

Mengenai pemakaian kuota ekuiti Bumiputera pula, Mohd Shafie meminta kerajaan tidak mencari jalan singkat dengan memberikan ekuiti secara terus kepada kaum Bumiputera kerana dikhuatiri akan mewujudkan masalah yang berbangkit seperti sabotaj pemberian kontrak kepada kroni, yang akan memberi kekayaan kepada golongan elit. – Borneo Today

 

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top