Oleh: Jaafar Abd Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan meneruskan perancangan membina sebuah pelabuhan baharu di daerah Kudat yang bertujuan merancakkan ekonomi setempat dan juga melonjakkan hasil pendapatan negeri.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, perancangan tersebut tetap diteruskan setelah sekian lama tertangguh memandangkan daerah Kudat berpotenasi dibangunkan sesuai dengan lokasinya yang stategik.
“Saya telah berbincang dengan Ketua Menteri (DSP Hajiji Haji Noor) berhubung perkara ini dan mengambil keputusan meneruskan rancangan ini.
“Kita berharap kerajaan pusat bukan sahaja bersetuju malah dapat menyediakan peruntukan untuk melaksanakan projek ini” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2021 Lembaga Pelabuhan-Pelabuan Sabah Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam Selasa lepas.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah optimis perancangan itu akan dapat merangsang pembangunan setempat memandangkan banyak kawasan berhampiran Kudat seperti Kota Marudu, Matungong dan Pitas masih kurang kemudahan infrastruktur yang efisien.
“Jika perancangan ini dapat direalisasikan saya optimis kawasan ini akan pesat membangun dan dalam masa yang sama pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo akan memudahkan lagi sistem perhubungan antara Kudat dan lain-lain bandar khususnya Kota Kinabalu yang menjadi pemangkin pembangunan kawasan Kudat dan sekitarnya,” katanya.
Sehubungan itu katanya perancangan ini merupakan satu perancangan pembangunan inklusif di mana kerajaan juga akan membina satu bandar baharu selain mewujudkan zon perdagangan khas yang akan dapat membantu bukan hanya ekonomi Sabah tetapi juga membangunkan kawasan persekitaran Kudat
Sementara itu, ketika berucap merasmikan majlis tersebut Bung Moktar berharap kakitangan Lembaga Pelabuhan-Pelabuan Sabah yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang akan mengekalkan memontum kecemerlangan mereka selain turut memberikan anjakan paradigma kepada kakitangan lain untuk mencapai tahap kecemerlangan yang sama.