Ramai Ingat Saya Orang Sabah – Azmah

azmah-nordin.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Azmah Nordin, 64 ,yang berasal dari Kedah berhijrah ke negeri di bawah bayu Sabah, hampir 49 tahun lalu mengikuti suaminya, Hussain Othman, anak kelahiran Papar.

Ketika mengahwini cinta hatinya itu, Azmah tidak tahu bahawa ayah dan ibu suaminya mempunyai darah campuran yang begitu unik.

Bapa mentuanya, Datuk Hj Othman Yousof berketurunan Cina dan Kadazandusun sementara ibu mentuanya, Ridjah Mukri mempunyai darah campuran Jawa dan Cina.

“Kalau difikirkan, keluarga besar kami boleh dikatakan contoh Keluarga Malaysia, tambahan anak lelaki saya, Husaini mengahwini seorang gadis Melayu Brunei yang tinggal di Kimanis (daerah Papar).

“Anak perempuan saya, Norazlina pula mendirikan rumah tangga dengan jejaka Bajau Idaan dari Lahad Datu,” kongsi Azmah dengan Bernama baru-baru ini.

Menurut Azmah, beliau berasa begitu teruja ketika pertama kali menjejakkan kaki di negeri kelahiran suaminya itu.

“Pada mulanya kami tinggal di Tanjung Aru di Kota Kinabalu dan rumah kami rumah atas air laut. Pertama kali saya tinggal dalam rumah macam tu dan seronoknya saya boleh melihat sayup-sayup puncak Gunung Kinabalu dari rumah kami,” katanya.

Azmah dan Hussain, yang kini menetap di Kepayan, Kota Kinabalu, berkenalan pada tahun 1973 sewaktu Hussain mengikuti pengajian di Institut Teknologi Telekomunikasi di Petaling Jaya, Selangor. Hussain menyewa bilik di belakang rumah Azmah.

Berhijrah ke Sabah memberi peluang untuk Azmah menerokai bidang penulisan dengan cubaan pertamanya menyumbang rencana untuk akhbar tempatan. Beliau kemudian mencuba bidang penulisan novel, dan cerita pendek. Plot cerita kebanyakannya berkisar kepada subjek kegemarannya iaitu kepelbagaian etnik Sabah.

“Sewaktu tinggal di Semenanjung, saya memang tidak terdedah kepada kebudayaan kaum lain (di Malaysia). Tapi, bila berada di Sabah, saya terus jatuh cinta dengan keindahan budaya pelbagai etnik di negeri ini termasuk tarian, alat muzik dan makanan tradisional.

“Sabah sesungguhnya bertuah kerana mempunyai pelbagai etnik yang kaya dengan adat tradisi serta budaya. Rakyat di negeri ini amat menyayangi kepelbagaian yang ada dan mereka menghormati perbezaan ini serta agama yang dianuti. Anda boleh lihat suasana penuh harmoni ini di mana sahaja anda pergi di Sabah,” katanya.

Bakat penulisan Azmah terserlah apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 2009. Anugerah ini disampaikan secara tahunan kepada penyair dan penulis di rantau Asean.

Pada tahun lepas beliau terpilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah (ASNS) yang kedua.

ASNS adalah pengiktirafan tertinggi diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah kepada tokoh sasterawan yang masih hidup. Ia dimulakan pada 1990 dengan penerima pertamanya adalah Allahyarham Datuk Ismail Abbas atau nama penanya Amil Jaya.

Setakat ini, Azmah menghasilkan lebih 60 buah buku, kebanyakannya berdasarkan penyelidikan beliau mengenai masyarakat pelbagai etnik Sabah.

Menurut Azmah, setiap kali beliau kembali ke Semenanjung, ramai yang menganggap beliau adalah orang Sabah kerana bercakap bahasa Melayu dengan loghat Sabah yang pekat.

“Di Sabah pula, ada orang tempatan yang ingat saya ini keturunan Cina, mungkin saya nampak macam orang Cina,” katanya, sambil tersenyum.

Berita asal: BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top