Rakyat Sabah Sambut Baik Bajet Madani 2023, Berharap Dapat Rapatkan Jurang Pembangunan Dengan Semenanjung

nizam.jpg

Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah, seiring dengan pandangan pemimpin-pemimpin negeri, menaruh harapan tinggi terhadap Bajet Madani 2023 yang dibentangkan semalam agar dapar merapatkan lagi jurang pembangunan antara tiga Wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, rakyat Sabah menerima suntikan khas secara terus sebanyak RM6.5 Bilion daripada RM388 Bilion Bajet 2023, yakni peningkatan lebih 3% berbanding tahun lalu, di samping menerima pelbagai peruntukan lain seperti RM20 bilion melibatkan pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo di kedua-dua Sabah dan Sarawak serta penerima terbesar faedah peruntukan RM1.2 bilion bagi menaik taraf beratus klinik dan sekolah di kedua-dua negeri.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, yang juga ADUN Apas itu berkata, peruntukan RM1 bilion untuk membina Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sempadan Malaysia-Indonesia termasuk di Kalabakan akan turut memberi impak positif kepada ekonomi Sabah berikutan pembinaan bandar pentadbiran baharu Indonesia di Nusantara.

“Rakyat khususnya di Pedalaman juga menyokong penuh kenyataan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji supaya CIQ yang sama akan turut dipertimbang untuk dibina di Bantul, Pensiangan,” katanya lagi dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, golongan petani, pekebun getah, belia, wanita, usahawan PMKS dari Sabah bakal turut sama menerima pelbagai kemudahan bantuan, pinjaman mahupun pengurangan cukai, seperti diumumkan.

“Saya menyeru kepada rakyat Sabah untuk mengambil peluang-peluang ini, dan PGRS sendiri akan mengambil inisiatif memberi penjelasan kepada rakyat .

Terdapat RM1.7 bilion diperuntukkan untuk pinjaman kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana tahun ini menerusi Tekun, BSN dan Bank Negara,” jelas beliau.

Peniaga Sabah harus ambil peluang ini lebih-lebih ekonomi kini semakin pulih dari tekanan pandemik Covid-19.

“Saya berharap Kerajaan Persekutuan juga akan memperluas bantuan dan peluang kepada Sabah dalam usahanya, termasuk membuka tanah sebagai kawasan pertanian, untuk mempertingkat sumber makanan sekali gus membantu menurunkan kos bahan mentah makanan kita.

Kita bersyukur dan mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyediakan bajet pro-rakyat ini, dan adalah diharapkan ia akan menjadi landasan kepada bajet-bajet madani yang lebih hebat pada tahun-tahun mendatang.

Ini mungkin satu lagi titik permulaan bagi Sabah melonjakkan pembangunannya mengejar Semenanjung, agar tidak lagi tertinggal di belakang dari segi pembangunan dan kemajuan sejak kita sama-sama membentuk negara Malaysia pada tahun 1963,” ujarnya lagi. – SABAHit On9 TV

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top